Selangor pantau banjir, EXCO diarah turun lapangan - MB

24 Nov 2025, 8:31 AM
Selangor pantau banjir, EXCO diarah turun lapangan - MB
Selangor pantau banjir, EXCO diarah turun lapangan - MB

SHAH ALAM, 24 Nov: Kerajaan Negeri memantau rapi situasi banjir di beberapa daerah susulan hujan berterusan sejak malam tadi, selain mengarahkan EXCO serta pegawai berkaitan turun ke lapangan bagi menyantuni mangsa terjejas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pihaknya sedang mengemaskini perkembangan semasa bagi memastikan tindakan segera dapat diambil dalam membantu penduduk terlibat.

“Saya juga sedang menunggu laporan berhubung situasi banjir ini. Kita akan minta semua pegawai-pegawai atau pihak terbabit, termasuk EXCO untuk turun dan menyantuni mereka. Lihat sejauh mana kesan susulan hal ini. Kita turut memantau hujan sebab hujan dijangka berterusan hingga esok.

“Kita juga memantau rapat perkembangan paras air di empangan-empangan negeri supaya terkawal dan mengelakkan sebarang insiden tidak diingini. Ketika ini paras agak stabil tapi kita pantau dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Pelan Tindakan Ekonomi Kreatif Selangor 2025–2035 di sini, hari ini.

Amirudin turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung langkah susulan menghadapi banjir pada petang ini.

Terdahulu, media melaporkan lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di Selangor berikutan banjir yang melanda beberapa kawasan akibat hujan berterusan sejak petang semalam.

Berdasarkan maklumat Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 1 tengah hari, lima PPS dibuka di empat daerah bagi menempatkan 110 mangsa daripada 30 keluarga.

PPS berkenaan ialah Dewan Sri Sekinchan dan Dewan Sri Bernam (Sabak Bernam); Pusat Perkhidmatan JKKK Kampung Jaya Setia (Bestari Jaya); Sekolah Kebangsaan Sungai Serai (Hulu Langat); dan yang terbaharu, Masjid Al-Falah Kampung Budiman (Shah Alam).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619