Penduduk Selangor digesa bersihkan kawasan rumah, elak penularan denggi

24 Nov 2025, 12:00 AM
Penduduk Selangor digesa bersihkan kawasan rumah, elak penularan denggi

SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai khususnya penghuni pangsapuri digesa memberi perhatian terhadap kebersihan kawasan kediaman bagi mencegah penularan denggi yang dijangka meningkat sepanjang musim hujan.

EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin berkata cuaca lembap ketika ini menyebabkan lebih banyak takungan air terbentuk sekali gus menjadi lokasi pembiakan utama nyamuk Aedes.

“Musim hujan meningkatkan risiko denggi. Kebersihan persekitaran rumah adalah langkah paling asas tetapi paling penting untuk memutuskan rantaian jangkitan. Saya menyeru warga Selangor mengambil langkah pencegahan dengan serius demi melindungi diri, keluarga dan komuniti,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau menyarankan penduduk memeriksa dan menghapuskan takungan air setiap minggu selain memastikan tong air ditutup rapat atau diletakkan ubat pembunuh jentik-jentik.

“Gunakan semburan aerosol serta repelen dan pakai pakaian berlengan panjang sebagai perlindungan tambahan,” katanya.

Dalam masa sama, Jamaliah mengingatkan supaya tidak memandang ringan gejala demam terutama dalam kalangan warga emas dan individu berpenyakit kronik kerana mereka lebih berisiko mengalami komplikasi.

“Jika mengalami demam berpanjangan atau tanda mencurigakan, segera dapatkan pemeriksaan. Tindakan awal boleh menyelamatkan nyawa,” tegasnya.

Selangor merekodkan penurunan kumulatif 65.4 peratus kes denggi bagi tempoh 1 Januari hingga 4 Oktober 2025, daripada 53,187 kes pada 2024 kepada angka lebih rendah tahun ini. Kes kematian turut menurun kepada enam berbanding 14 kes pada 2024.

Dalam Belanjawan Selangor 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi memperkukuh intervensi dan pencegahan denggi secara berterusan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619