Mangsa banjir Kelantan meningkat 1,170, enam negeri terima amaran hujan berterusan

22 Nov 2025, 3:00 PM
Mangsa banjir Kelantan meningkat 1,170, enam negeri terima amaran hujan berterusan

KUALA LUMPUR, 22 NOV: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,170 orang manakala di Terengganu tidak berubah setakat 8 malam ini.

Di Kelantan, kesemua mangsa melibatkan penduduk di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat yang berlindung di lapan pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS di Kota Bharu melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Sakti, Sekolah Kebangsaan (SK) Tapang, SK Parang Puting dan SK Sering; SK Pengkalan Kubor 2 dan SK Seri Tumpat 2 di Tumpat manakala SK Pauh Sembilan dan SK Jelawat di Bachok.

Tinjauan Bernama di Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota, Pengkalan Chepa, di sini malam ini mendapati sebahagian laluan utama di kawasan kampus telah dinaiki air hingga paras lutut.

Selain itu, menurut kenyataan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), lima lembangan sungai utama di negeri itu berisiko berdepan peningkatan paras air sekiranya hujan lebat berterusan.

Ia melibatkan Jajahan Pasir Mas iaitu Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kelantan), Pasir Puteh - Lembangan Sungai Semerak (Sungai Semerak dan Sungai Buaya Ikat), Kota Bharu - Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Kemasin dan Sungai Kelantan).

“Bachok iaitu Lembangan Sungai Semerak (Sungai Kemasin dan Sungai Semerak), Kuala Krai - Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Lebir) dan Tumpat - Lembangan Sungai Kelantan (Sungai Golok dan Sungai Kelantan),” menurut kenyataan itu.

Sementara di Terengganu, situasi banjir gelombang pertama di negeri itu tidak berubah sejak petang tadi dengan jumlah mangsa kekal 276 orang berlindung di PPS Masjid Kampung, Pulau Redang.

Di Kuala Lumpur, Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah mengeluarkan notis kesiapsiagaan operasi bencana yang mengarahkan pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri dan daerah selain meningkatkan tahap kesiapsiagaan.

Arahan itu dikeluarkan berikutan amaran hujan berterusan peringkat buruk dan waspada yang melibatkan enam negeri, dengan tumpuan terhadap kawasan berisiko tinggi.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat buruk di Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh di Kelantan bermula hari ini hingga 24 Nov.

Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak (Kerian, Larut, Matang Dan Selama, Hulu Perak dan Kuala Kangsar) untuk tempoh sama, manakala situasi serupa diramal di Kelantan (Jeli, Tanah Merah, Machang, Kuala Krai dan Gua Musang) dan Terengganu hingga 26 Nov.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619