Insiden ECRL di MRR2: Laporan penuh diketahui kurang dua minggu

22 Nov 2025, 8:02 AM
Insiden ECRL di MRR2: Laporan penuh diketahui kurang dua minggu

REMBAU, 22 NOV: Laporan penuh berkaitan insiden runtuhan struktur binaan sementara projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Batu Caves dijangka diketahui dalam tempoh kurang dua minggu.

Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Azman Mohd Yusof berkata pihak berkaitan termasuk Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah turun padang dan sedang mengumpul maklumat sebelum laporan dimuktamadkan.

“Jadi, kita tunggulah dalam seminggu atau seminggu setengah untuk mendapatkan hasil laporan dan daripada hasil laporan itu nanti baru kami akan menyatakan perkara selanjutnya sama ada tindakan mahkamah atau sebagainya.

“Perkara ini teknikal, banyak yang perlu dirujuk termasuk dalam konteks undang-undang, kami nak tahu punca kes ini… adakah kerana aspek teknikal atau tidak mengikut skop, ini semua akan disiasat,” katanya selepas melancarkan Kampung Angkat MADANI KESUMA di Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di sini hari ini.

Beliau berkata sebarang kemungkinan termasuk isu kecuaian, teknikal atau ketidakpatuhan kepada prosedur operasi standard juga akan diketahui selepas laporan siasatan disiapkan.

Azman turut menasihati semua pihak yang terlibat dalam kerja pembinaan supaya mematuhi peraturan berkaitan keselamatan pekerjaan, sekali gus memastikan kejadian sama dapat dielakkan pada masa hadapan.

“Kami banyak memperkenalkan peraturan dan undang-undang dalam konteks tenaga keselamatan pekerja dan sebagainya. Sasaran kami adalah mengurangkan kemalangan di tempat kerja sebab akhirnya kos itu juga akan dikenakan kepada pihak majikan yang tidak mahu mengikut peraturan berkenaan,” katanya.

Pada Rabu lepas, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dilaporkan berkata insiden runtuhan struktur binaan sementara projek itu dipercayai berpunca daripada perlanggaran boom jentera kren pengangkat yang digunakan untuk kerja pemeriksaan ketebalan cat.

Kerja berisiko tinggi itu juga didapati dijalankan tanpa Permit Kerja bertulis daripada kontraktor utama projek.

Azman ketika mengulas program hari ini berkata Kampung Chembong Batu 17A dan Kampung Air Hitam dipilih sebagai kampung angkat kementerian itu manakala SK Chembong sebagai sekolah angkat.

Beliau berkata inisiatif itu memberi manfaat kepada penduduk kampung melalui pelbagai pelaksanaan projek termasuk pembinaan susur gajah di SK Chembong, pemasangan lampu solar, pembaikan dan naik taraf dua balai raya di Kampung Chembong Batu 17A dan Kampung Air Hitam.

“SK Chembong turut menerima peruntukan RM100,000 bagi menaik taraf infrastruktur dewan sekolah, makmal komputer dan perolehan peranti elektronik skrin sentuh (tablet),” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619