Banjir: Pelancong Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Songkhla

22 Nov 2025, 6:00 AM
Banjir: Pelancong Malaysia dinasihat tangguh perjalanan ke Songkhla

SONGKHLA, 22 NOV: Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla pada Sabtu menasihatkan rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan ke wilayah selatan Thailand susulan bencana banjir yang melanda kawasan itu.

Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi dalam satu kenyataan berkata kebanyakan wilayah di selatan Thailand kini dilanda banjir berikutan hujan lebat berterusan.

“Pihak Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla menasihatkan semua rakyat Malaysia yang berhasrat melancong atau melawat selatan Thailand supaya menangguhkan perancangan mereka buat sementara waktu ekoran cuaca buruk, hujan lebat berterusan serta banjir yang menjejaskan banyak kawasan,” katanya.

Ahmad Fahmi turut menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di selatan Thailand agar sentiasa peka dengan perkembangan cuaca, mengikuti pengumuman serta arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa dan menjaga keselamatan diri.

Beliau berkata untuk sebarang bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi pegawai bertugas di talian +66 81 990 1930 atau melalui e-mel mwsongkhla@kln.gov.my.

Sementara itu, Presiden Persatuan Hotel Hatyai-Songkhla Dr Sitthipong Sitthiprapha berkata pihaknya dimaklumkan terdapat kira-kira 4,000 pelancong Malaysia terkandas di hotel-hotel sekitar Songkhla akibat jalan raya yang dinaiki air.

“Sejak malam tadi, lebih 4,000 pelancong Malaysia terkandas…mereka terdiri daripada mereka yang ingin pulang ke Malaysia melalui Sadao tetapi jalan utama dari Hatyai ke Sadao terputus kerana banjir, serta mereka yang terkandas di hotel akibat pekan Hatyai dinaiki air,” katanya.

Sitthipong berkata pihak berkuasa tempatan telah mengambil langkah segera dengan menyediakan makanan dan bot bagi memindahkan mereka yang terkandas ke kawasan selamat.

Beliau berkata jumlah kenderaan milik pelancong Malaysia yang ditenggelami air masih belum dapat dipastikan, namun setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Selain itu, hujan yang berterusan sejak Isnin lepas telah menyebabkan lapan wilayah selatan Thailand dilanda banjir, memaksa hampir 124,003 keluarga berpindah ke kawasan yang lebih selamat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619