Festival Kampung Baru tonjol identiti 77 kampung, sasar 20,000 pengunjung

22 Nov 2025, 1:15 AM
Festival Kampung Baru tonjol identiti 77 kampung, sasar 20,000 pengunjung
Festival Kampung Baru tonjol identiti 77 kampung, sasar 20,000 pengunjung

SHAH ALAM, 22 NOV: Kerajaan Selangor menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung bagi memeriahkan Festival Kampung Baru Selangor 2026 Jom Thit Tho Lah! yang berlangsung dua hari bermula 24 Januari 2026.

EXCO Pelancongan, Dato’ Ng Suee Lim berkata festival dengan kerjasama Tourism Selangor di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Pandamaran B, Klang menyasarkan pelancong domestik selain dari China, Hong Kong dan Taiwan.

Beliau berkata festival itu mempromosikan warisan kampung baru Selangor di samping menggabungkan elemen budaya dan pelancongan berteraskan konsep “bermain”.

Suee Lim berkata festival menampilkan konsep “Memang Seronok’ melalui enam zon utama, iaitu Jom Jalan, Jom Makan, Jom Beli, Jom Main, Jom Snap Bersama dan Jom Reka untuk mengangkat identiti kepelbagaian 77 kampung baru di Selangor.

“Tujuannya membawa pengunjung menyelami kehidupan kampung baru melalui pengalaman lima deria dan seterusnya menghargai semula nilai budaya serta identiti setempat.

“Dengan pendekatan masuk kampung untuk merasai pengalaman sebenar, festival ini memberi peluang kepada pengunjung menyertai, merakam dan membawa pulang pengalaman budaya secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penganjuran Festival Kampung Baru Selangor 2026 yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling di Wisma Negeri di sini semalam.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata sebahagian tapak festival akan menempatkan zon penjualan pelancongan negeri yang menawarkan promosi khas oleh agensi pelancongan selaras dengan momentum Tahun Melawat Selangor 2025 dan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619