MB: Kadar inflasi Selangor terkawal, tiada lonjakan

21 Nov 2025, 11:25 AM
MB: Kadar inflasi Selangor terkawal, tiada lonjakan

SHAH ALAM, 21 NOV: Inflasi Selangor kini berada pada kadar 1.6 peratus berbanding 1.8 peratus pada September lalu, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata peratusan itu membuktikan inflasi di Selangor masih berada pada kadar terkawal, bukannya melonjak seperti didakwa beberapa pihak.

"Tahun ini, kadar inflasi dikeluarkan hampir setiap bulan iaitu 1.5 peratus pada Ogos, kemudian 1.8 peratus September. Bagaimanapun, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) maklumkan kini berada pada 1.6 peratus.

"Sepanjang tahun ini, kadar inflasi tidak pernah lebih angka dua peratus. Apabila disemak inflasi ini bukan semuanya stigma negatif kerana inflasi merujuk kepada permintaan dan penawaran.

"Oleh itu, tahap 1.6 atau 1.8 peratus kadar ini masih terkawal, perbezaan 0.2 atau 0.3 peratus bukanlah melonjak. Kalau melonjak ia mencapai ke 4.2 peratus, kena faham perkara tersebut," katanya pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Inflasi Malaysia kembali menyederhana kepada 1.3 peratus pada Oktober lalu apabila Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat kepada 135.1 berbanding 133.4 pada bulan sama tahun lalu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata pertumbuhan perlahan itu disumbangkan terutamanya oleh kenaikan lebih sederhana dalam kumpulan makanan dan minuman pada kadar 1.5 peratus berbanding 2.1 peratus pada September 2025, selain kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain yang mencatatkan 1.1 peratus berbanding 1.5 peratus sebelumnya.

Di Selangor, pelbagai inisiatif telah diperkenal bagi membantu golongan tidak berkemampuan untuk mendepani cabaran kos sara hidup, inflasi serta tekanan kewangan.

Antaranya adalah program BINGKAS, bantuan kewangan RM300 sebulan kepada keluarga yang layak. Dalam Belanjawan Selangor 2026 yang dibentangkan Jumaat lepas, satu lagi program dikenali ebagai Program BINGKASAN dengan peruntukan RM5 juta turut diperkenal.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619