AFC denda FAM, JDT, Selangor FC

21 Nov 2025, 1:08 AM
AFC denda FAM, JDT, Selangor FC

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) mengenakan hukuman denda terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta dua kelab gergasi Liga Malaysia (Liga M), Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC.

Hukuman itu diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC susulan pelanggaran peraturan dalam perlawanan membabitkan saingan kelayakan Piala Asia 2027, Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

FAM didenda sebanyak USD1,875 (RM7,788) kerana melakukan kesalahan di bawah Perkara 2.2 Manual Operasi Pertandingan AFC ketika aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 14 Oktober lalu, lapor Berita Harian.

"Wakil pihak responden menyebabkan kelewatan untuk memulakan separuh masa kedua perlawanan selama dua minit dan 30 saat.

"Denda itu hendaklah diselesaikan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan ini dimaklumkan selaras dengan Perkara 11.3 Kod Tatatertib dan Etika AFC," menurut keputusan yang diputuskan Jawatankuasa Tatatertib dan Etika AFC, semalam.

Juara Liga Super 11 kali berturut-turut, JDT pula dikenakan didenda USD5,000 (RM20,783) selepas didapati gagal menyediakan 'Clean Stadium' di tapak latihan rasmi bagi perlawanan ACLE menentang kelab Jepun, FC Machida Zelvia, 30 September lalu.

Sementara itu, Selangor FC dikenakan denda sebanyak USD1,250 (RM5,195) apabila wakil pasukan berkenaan menyebabkan kelewatan sepak mula separuh masa kedua selama satu minit dan 20 saat ketika aksi ACL2 menentang Persib Bandung, 23 Oktober lalu.

JDT dan Selangor juga perlu menyelesaikan hukuman denda berkenaan dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619