Selangor lakukan analisis kesan perjanjian ART Malaysia-AS

20 Nov 2025, 1:56 PM
Selangor lakukan analisis kesan perjanjian ART Malaysia-AS

SHAH ALAM, 20 NOV: Kerajaan Negeri akan melaksanakan analisis kos faedah (CBA) bagi menilai impak bersih Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat terhadap prestasi eksport, kemasukan pelaburan serta pembangunan sektor tempatan di Selangor.

EXCO Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Ng Sze Han berkata kajian tersebut akan diterajui anak syarikat negeri, Invest Selangor Berhad dan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec).

“CBA ini akan diselarikan dengan strategi memanfaatkan dasar perdagangan sedia ada, khususnya Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) serta Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

“Penggunaan CPTPP dan RCEP menjadi penanda aras serta kerangka pelengkap bagi memastikan produk Malaysia mendapat akses pasaran optimum di blok timur dan barat sekali gus mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan,” katanya ketika menggulung Belanjawan Selangor 2026 sebagai menjawab kebimbangan Ahli Dewan Negeri berhubung kesan tarif timbal balik Amerika Syarikat.

Ng berkata Kerajaan Negeri melihat ART sebagai langkah strategik yang mengukuhkan kestabilan dan ketelusan ekonomi Malaysia di tengah ketegangan geopolitik global.

“ART tidak menjejaskan kedaulatan negara serta tidak mengatasi undang-undang domestik. Namun, Selangor akan mengambil langkah proaktif menangani cabaran tarif khususnya dalam sektor berorientasikan eksport seperti elektrik dan elektronik,” katanya.

Malaysia dan Amerika Syarikat menandatangani ART pada 26 Oktober sebagai usaha mewujudkan persekitaran perdagangan yang stabil susulan keputusan Washington mengenakan tarif timbal balik tinggi terhadap negara yang mempunyai lebihan dagangan besar dengan AS.

Di bawah perjanjian itu, Amerika Syarikat mengekalkan tarif 19 peratus ke atas kebanyakan barangan Malaysia, lebih rendah berbanding cadangan asal antara 24 hingga 25 peratus.

Bagi melindungi sektor eksport utama, ART turut menyediakan pengecualian tarif sifar bagi 1,711 garis tarif Malaysia merangkumi produk minyak sawit dan derivatif, barangan getah, koko, alat ganti pesawat serta farmaseutikal.

Sebagai timbal balas, Malaysia bersetuju menangani beberapa sekatan bukan tarif yang menjejaskan eksport AS termasuk menyelaras sistem peraturan negara dengan standard Amerika bagi kenderaan, peranti perubatan dan keselamatan makanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619