Pentadbir masjid diberi latihan tangani masalah mental, sosial dalam komuniti Islam

20 Nov 2025, 4:34 AM
Pentadbir masjid diberi latihan tangani masalah mental, sosial dalam komuniti Islam

SHAH ALAM, 20 NOV: Pentadbir dan sukarelawan masjid di Selangor bakal diberi latihan serta modul khusus berkaitan perkhidmatan kaunseling bermula tahun hadapan, sebagai usaha menangani isu kesihatan mental dalam komuniti Islam.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Dr Fahmi Ngah berkata modul berkenaan dibangunkan selepas kajian awal menunjukkan wujud pelbagai bentuk kebimbangan dan tekanan mental dalam kalangan masyarakat termasuk yang berkait langsung dengan urusan agama.

"Antara isu dikenal pasti ialah kegusaran berkaitan hal fiqah, nikah kahwin, serta kebimbangan yang dikaitkan dengan unsur ‘supernatural’ seperti gangguan atau santau.

"Ada juga laporan mengenai diskriminasi di masjid, seperti teguran bacaan tidak betul atau pemakaian, yang menimbulkan tekanan kepada jemaah.

"Maka, wajar diwujudkan kaedah dan khidmat kaunseling di masjid bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut beliau, usaha itu juga selaras dengan Hala Tuju Kelestarian Hal Ehwal Agama Islam Selangor 2025–2030 yang antara lain menekankan keperluan modul latihan sistematik bagi menangani isu kesihatan mental dalam komuniti.

Justeru, latihan fasa pertama kepada pentadbir dan sukarelawan masjid akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan, merangkumi pengenalan modul, pendekatan kaunseling asas dan bimbingan mengurus aduan masyarakat.

Dalam pada itu, Dr Fahmi turut menjelaskan bahawa imam muda Selangor sudah menjalani latihan awal di Institut Pemberdayaan Ummah Selangor, bukan sahaja dalam aspek psikologi kaunseling masyarakat tetapi juga kemahiran pengurusan masjid, pemahaman kewangan dan pengurusan data kariah.

“Mereka dilatih supaya lebih bersedia dan berkeyakinan mendepani masyarakat dengan kemahiran yang lebih menyeluruh,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619