Selangor disaran wujud dasar rantaian bekalan rel, tumpu tenaga mahir tempatan

19 Nov 2025, 8:07 AM
Selangor disaran wujud dasar rantaian bekalan rel, tumpu tenaga mahir tempatan

SHAH ALAM, 19 NOV: Satu dasar pembangunan rantaian bekalan rel perlu diwujudkan susulan tekad pentadbiran negeri memajukan hab industri rel di Hulu Selangor, saran wakil rakyat Kuala Kubu Bharu.

Pang Sock Tao berkata dasar komprehensif itu penting bagi memastikan pembangunannya memberi manfaat terus kepada tenaga kerja tempatan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkaitan.

“Pembangunan hab industri rel merupakan langkah tepat yang mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri memacu pembangunan luar bandar, sekali gus memastikan Hulu Selangor tidak tercicir dalam arus kemajuan industri berteknologi tinggi.

“Namun, dasar rantaian bekalan rel perlu digubal supaya tumpuan dapat diberikan kepada pembangunan tenaga mahir tempatan, penglibatan PKS dalam komponen rel serta penyediaan kemudahan logistik,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata pembinaan hab industri rel bakal membuka dimensi baharu kepada pemerkasaan ekonomi Hulu Selangor bagi menjadikannya sebuah bandar berdaya saing.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 memaklumkan hab industri rel akan dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar negara serta memperkukuh keupayaan negeri dalam pembuatan komponen tren dan penyelenggaraan.

Usaha itu melibatkan kerjasama pihak industri, institusi akademik dan operator rel yang berpengalaman dalam sektor berkenaan.

Dalam pada itu, Sock Tao turut menggesa Kerajaan Negeri memberi perhatian kepada isu pembinaan infrastruktur dan pemulihan projek terbengkalai di Kampung Melayu Rasa, Hulu Selangor.

“Sudah beberapa kali tender dikeluarkan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, namun sehingga kini tiada perkembangan ketara. Penduduk juga berdepan gangguan bekalan elektrik dan tekanan air rendah.

“Kita minta Kerajaan Negeri meneliti semula pendekatan sedia ada dan mencari penyelesaian yang lebih praktikal demi kebajikan penduduk,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619