PBT dicadang sediakan laporan suku tahunan pelaburan, industri di bawah Dasar Speed Selangor

19 Nov 2025, 6:24 AM
PBT dicadang sediakan laporan suku tahunan pelaburan, industri di bawah Dasar Speed Selangor

SHAH ALAM, 19 NOV: Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) dicadangkan menyediakan laporan suku tahunan mengenai pelaburan dan industri melalui Dasar Speed Selangor, bagi memantau perkembangan pelaburan serta permintaan infrastruktur di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Danial Al-Rashid Haron berkata laporan itu merangkumi semakan lesen baharu, hasil PBT dan pelan pembangunan semula kawasan industri sedia ada.

“Selangor meneruskan Pembangunan Komprehensif Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) yang melibatkan empat PBT menuju ke arah reformasi moden. Dasar Speed Selangor menjadi pemangkin agar proses kelulusan lesen lebih pantas.

“Dasar ini tidak perlu kekal pada versi 1.0 sahaja, sebaliknya diperbaharui dari semasa ke semasa. Oleh itu, saya cadangkan setiap PBT menyediakan laporan suku tahunan yang merangkumi semakan lesen, hasil PBT dan pelan pembangunan semula kawasan industri sedia ada,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sebelum ini, menerusi Belanjawan Selangor 2026, Dato’ Menteri Besar memaklumkan bahawa Dasar Speed Selangor yang dilancar Oktober lalu telah diseragamkan di 12 PBT seluruh Selangor bagi meningkatkan keyakinan pelabur dan merealisasikan aspirasi negeri sebagai mesra pelaburan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dasar SPEED Selangor bertujuan mempercepat dan mempermudah proses kelulusan pembangunan serta pelesenan perniagaan, daripada tiga bulan kepada maksimum 30 hari bagi projek industri dan komersial yang strategik serta berimpak tinggi.

Beliau yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Orang Kurang Upaya Selangor (MTOS) turut berharap peruntukan untuk golongan OKU ditambah.

“Pencapaian golongan ini membanggakan negara, termasuk penerima pingat emas di Global IT Challenge Korea dan kejayaan Datuk Abdul Latif Romly memecah rekod dunia. Oleh itu, saya cadangkan peruntukan OKU ditambah dan fasiliti sukan untuk OKU dinaik taraf, khususnya menjelang PARA Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619