SUKMA 2026: 812 sukarelawan sudah daftar, kempen libatkan wanita diperhebat

19 Nov 2025, 3:34 AM
SUKMA 2026: 812 sukarelawan sudah daftar, kempen libatkan wanita diperhebat

SHAH ALAM, 19 NOV: Seramai 812 sukarelawan sudah berdaftar bagi menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, kata EXCO Sukan, Mohd Najwan Halimi.

Beliau berkata kesemua pendaftaran itu diterima melalui Konvensyen Belia Selangor 2025 dan Ekspo Industri Sukan Asean 2025.

“Antara keperluan penting supaya penganjuran temasya ini berjalan dengan baik adalah pasukan sukarelawan. Buat masa ini, penyertaan dibuka khusus untuk anak muda termasuk di peringkat sekolah menengah, institusi pengajian tinggi dan orang awam berminat.

“Setakat ini, pada konvensyen berlangsung September seramai 291 individu berdaftar manakala Ekspo Industri Sukan Asean 2025 pula 521 individu,” katanya menjawab soalan wakil rakyat Bukit Lanjan Pua Pei Ling pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Terdahulu, Mohd Najwan memaklumkan sekretariat SUKMA Selangor 2026 akan memperhebat kempen penyertaan wanita melalui media sosial bagi menggalakkan lebih ramai golongan tersebut menjadi sukarelawan.

Menurutnya, beberapa kerjasama turut dijalankan, antaranya bersama Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pada September lalu, beliau memaklumkan Kerajaan Negeri akan melaksanakan jelajah ke sembilan daerah untuk mencari 5,000 sukarelawan SUKMA 2026.

Jelajah itu disertai beberapa agensi termasuk Majlis Belia Selangor dan Penggerak Belia Selangor, dengan peserta bakal menerima latihan merangkumi pengurusan acara dan protokol.

Sementara itu, Mohd Najwan berkata PBT berperanan memastikan kelancaran penganjuran SUKMA Selangor 2026, termasuk memastikan infrastruktur dalam keadaan sedia digunakan serta membiayai kos baik pulih.

“Penglibatan dalam program Bapa Angkat SUKMA kepada 37 jenis sukan membantu menyediakan keperluan pasukan mengikut kesesuaian sebelum atau semasa temasya berlangsung.

“Selain itu, mereka akan membantu menyediakan kemudahan logistik kepada kontinjen SUKMA Selangor,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619