Peruntukan projek mitigasi banjir perlu fokus kawasan berisiko di Klang

18 Nov 2025, 3:27 PM
Peruntukan projek mitigasi banjir perlu fokus kawasan berisiko di Klang

SHAH ALAM, 18 NOV: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Baru Klang berharap peruntukan pembangunan lembangan sungai itu memberi keutamaan kepada kawasan Klang yang berdepan risiko banjir.

Dr Quah Perng Fei berkata dengan peruntukan disediakan itu ia dapat menaik taraf fasiliti supaya kejadian banjir dapat dielak.

"Ada beberapa peruntukan disediakan bagi projek mitigasi banjir dan saya berharap Klang diberi keutamaan lebih tinggi terutama kawasan berisiko.

"Pihak berkuasa tempatan juga dicadang supaya wajib melaporkan status setiap dua minggu berhubung keadaan longkang yang telah dibersihkan, pam berfungsi dan binaan haram yang dirobohkan," katanya hari ini.

Bercakap pada persidangan Dewan Negeri Selangor, beliau turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menguatkuasakan denda tegas kepada pihak yang membuang sampah ke dalam longkang atau sungai sehingga mengakibatkan saluran air tersumbat.

Sebelum ini, Dato' Menteri Besar menerusi pembentangan Belanjawan Selangor memaklumkan RM54.34 juta diperuntukkan mengikut lembangan sungai utama dalam memperkukuh projek tebatan banjir dengan penambahan 17 projek baharu antaranya Lembangan Sungai Klang bernilai RM16.92 juta.

Dato' Seri Amirudin Shari turut memaklumkan RM11.51 juta diperuntuk kepada Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor bagi pengurusan lembangan sungai yang lebih holistik selain pengurusan air berdaya tahan.

Dalam pada itu, Dr Quah turut mencadangkan supaya Kerajaan Negeri menghentikan sebarang projek separuh jalan demi keselamatan rakyat setempat.

"Tiba masanya naik taraf kejuruteraan dilaksana dengan sebaiknya dan mereka yang melanggar undang-undang dikenakan hukuman. Ini penting supaya kepercayaan rakyat kepada kerajaan dapat dipulihkan.

"Bagi isu pengharaman vape sepenuhnya pula, tindakan pengawalan yang tegas perlu diambil sebaiknya dalam melindungi anak muda supaya mereka dapat berhenti secara selamat selain menutup ruang sindiket pasaran gelap," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619