Kerja ECRL di MRR2 dihentikan susulan insiden hempap kereta

18 Nov 2025, 2:52 PM
Kerja ECRL di MRR2 dihentikan susulan insiden hempap kereta

KUALA LUMPUR, 18 NOV: Semua kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) FT28 arah Batu Caves yang melibatkan struktur sementara “temporary steel canopy” telah dihentikan.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) selaku pemilik projek ECRL berkata kerja-kerja pembinaan di kawasan itu dihentikan sementara menunggu siasatan menyeluruh oleh pihak berkuasa berkaitan susulan insiden kemalangan sebuah kenderaan jenis Suzuki Swift pada kira-kira jam 2 petang di kawasan berkenaan.

“Pihak MRL mengambil maklum insiden melibatkan struktur sementara “temporary steel canopy” di Jalan MRR2 FT28 arah Batu Caves. Berdasarkan maklumat semasa, pemandu kenderaan yang terlibat berada dalam keadaan selamat.

“Sehubungan itu, pihak ECRL akan memberikan bantuan kewangan segera kepada pemilik kenderaan yang terlibat bagi meringankan beban yang ditanggung, sementara menunggu hasil siasatan pihak berkuasa dan proses tuntutan yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

MRL turut menyatakan pihak berkuasa serta agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) sedang berada di lokasi untuk menjalankan tindakan lanjut.

Katanya kerja-kerja pembersihan dan pengalihan struktur sementara telah berjaya dijalankan di bawah seliaan pihak berkuasa.

“Pihak ECRL komited untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan serta memastikan semua langkah keselamatan dipatuhi.

“Keutamaan kami adalah keselamatan pengguna jalan raya, orang awam dan pekerja projek. Kami amat menghargai perhatian dan kerjasama semua pihak berhubung insiden ini dan memohon maaf atas sebarang kesulitan yang berlaku.

Tambahnya, laluan yang terlibat kini telah dibuka semula untuk kegunaan orang awam dan pengguna jalan raya dinasihatkan agar berhati-hati serta mematuhi arahan trafik dan panduan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di lokasi berkenaan.

Terdahulu, seorang pemandu wanita nyaris maut selepas kereta yang dipandunya dihempap tiang perancah projek pembinaan projek ECRL di MRR2 Batu Caves berdekatan tol Gombak, di sini hari ini.

Menurut MRL, struktur sementara yang digunakan bagi kerja-kerja Road Under Bridge (RUB) #16 telah dilaporkan mengalami kegagalan dan menimpa sebuah kenderaan jenis Suzuki Swift pada kira-kira jam 2 petang.

Untuk makluman, struktur sementara “temporary steel canopy” tersebut dibina bagi menghalang serpihan pembinaan daripada jatuh ke laluan jalan raya dan memudahkan pelaksanaan kerja-kerja RUB #16.

Kerja-kerja pembinaan RUB #16 telah disiapkan pada Oktober 2025 dan proses berkaitan pembukaan struktur sementara dijadualkan bermula pada 20 Nov, 2025 selepas menerima kelulusan agensi terlibat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619