Imigresen bongkar sarang dadah warga asing di pangsapuri Pelabuhan Klang

18 Nov 2025, 2:07 AM
Imigresen bongkar sarang dadah warga asing di pangsapuri Pelabuhan Klang

PELABUHAN KLANG, 18 NOV: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor berjaya membongkar sarang penagih dadah oleh warga asing, dalam satu serbuan di sebuah unit pangsapuri di sini semalam.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM Datuk Lokman Effendi Ramli berkata ketika pemeriksaan dilakukan di tingkat sembilan pangsapuri berkenaan, anggota bertugas telah mengesan tindakan seorang warga asing yang cuba membuang sebuah beg kecil dalam keadaan mencurigakan.

‎Beliau berkata pemeriksaan lanjut menemukan beberapa peralatan yang telah diubah suai dipercayai untuk menghisap dadah jenis syabu serta pemetik api.

‎"Rumah itu dihuni oleh tiga warga asing terdiri daripada sepasang suami isteri dan seorang wanita. Kes akan diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut," katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di sini.

‎Lokman berkata dalam operasi kira-kira tiga jam setengah bermula 8.30 malam itu melibatkan kekuatan 78 pegawai dan anggota, sebanyak 285 warga asing diperiksa dan daripada jumlah itu 95 ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen antaranya tinggal lebih masa serta tiada dokumen pengenalan sah.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur 18 hingga 50 tahun terdiri daripada 70 lelaki dan 25 wanita itu akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan.

“Operasi ini juga hasil aduan orang awam dan risikan telah dibuat. Malam ini adalah masa yang optimum untuk operasi, sekali gus membuktikan setiap aduan diterima pasukan JIM dihargai dan kami akan buat siasatan lanjut untuk tindakan susulan,” katanya dan menambah sebanyak 261 premis diperiksa dalam operasi itu.

Lokman mengingatkan pemilik premis kediaman untuk tidak melindungi mana-mana pendatang asing atau bakal berdepan tindakan undang-undang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619