Belanjawan Selangor 2026: RM20.48 juta tingkat tenaga kerja mahir, penyertaan wanita dalam TVET

14 Nov 2025, 11:59 AM
Belanjawan Selangor 2026: RM20.48 juta tingkat tenaga kerja mahir, penyertaan wanita dalam TVET

SHAH ALAM, 14 NOV: Kerajaan Selangor memperuntukkan RM20.48 juta bagi Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) tahun depan untuk memperkukuh Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu penting bagi melahirkan tenaga kerja mahir sebagai persediaan industri di Selangor menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan menuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2), seterusnya merancakkan pelaburan asing (FDI).

“Program IKTISASS yang diterajui Pusat Pembangunan Kemahiran dan Teknikal Selangor (STDC) memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Selangor sebagai penyediaan dan melengkapkan integrasi kemahiran bagi lepasan sekolah dan golongan muda dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan keusahawanan.

“Ia bagi melengkapi keperluan industri sekaligus menyumbang kepada tenaga mahir Selangor yang berpendapatan tinggi,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Amirudin berkata STDC turut meneruskan penambahbaikan program itu dengan memperkenalkan Program TVET Wanita Selangor, hasil kerjasama dengan Guangdong Women’s Polytechnic, China pada September lalu.

Katanya, inisiatif itu dirangka bagi memperkasa golongan wanita termasuk belia, ibu tunggal dan mereka yang ingin kembali ke pasaran kerja.

“Ini bakal dilaksanakan menerusi pensijilan dalam bidang kejuruteraan, teknologi digital, automasi, tenaga boleh baharu, kulinari dan perkhidmatan teknikal yang relevan dengan keperluan industri.

“Kerajaan Negeri berharap usaha ini dapat meningkatkan kadar penyertaan wanita dalam bidang teknikal, sekaligus mengurangkan jurang jantina dalam sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Bagi program pensijilan ini Kerajaan Negeri memperuntuk sebanyak RM10.5 juta yang dijangka bakal memberi manfaat kepada lebih 2,000 rakyat Selangor,” katanya.

Beliau menambah, lebih 1,000 pelajar menamatkan pengajian di STDC kampus Kuala Selangor tahun ini melalui kursus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap dua hingga empat dan program sijil lanjutan.

“Selain itu, lebih 800 berjaya menerima pensijilan profesional daripada STDC kampus Shah Alam meliputi kerjasama bersama beberapa industri terkemuka antarabangsa seperti Siemens, Apple Inc., KNX, Mendix, Dassault Systemes, Festo dan Google Inc. yang menjurus kepada pemindahan program teknologi dan kepakaran.

“Pencapaian ini sentiasa meningkat saban tahun dan menunjukkan peningkatan kesedaran terhadap peranan TVET dan kelebihan pensijilan kemahiran kepada belia.

“Selain itu, pelbagai usaha meningkatkan mutu lepasan IKTISASS menerusi penambahbaikan modul pengajian dan mempelbagai bidang pengajian dilaksanakan bagi memastikan pelajar lepasan IKTISASS sentiasa menjadi yang terbaik dan berdaya saing,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619