Selangor laksana SSPA fasa dua Januari depan, implikasi tambahan RM20juta

14 Nov 2025, 9:02 AM
Selangor laksana SSPA fasa dua Januari depan, implikasi tambahan RM20juta

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor akan melaksanakan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) fasa dua berkuat kuasa Januari tahun hadapan, memberi manfaat kepada 8,914 pegawai perkhidmatan awam negeri.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan fasa kedua SSPA melibatkan implikasi kewangan tambahan sebanyak RM20 juta, dan diselaraskan sepenuhnya dengan hala tuju belanjawan serta dasar Kerajaan Persekutuan.

“Berdasarkan pemakaian SSPA di bawah pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri melibatkan PBT dan badan berkanun negeri, jumlah keseluruhan penjawat awam yang menerima manfaat ini melebihi 23,000 pegawai,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Pelaksanaan SSPA di Selangor dibuat secara berfasa dengan peruntukan khusus mulai Disember 2024, selaras usaha Kerajaan Persekutuan yang memperkenalkan skim baharu itu bagi menggantikan Skim Saraan Malaysia (SSM) yang telah berkuat kuasa sejak 2002.

Amirudin menjelaskan pelaksanaan di negeri ini melibatkan dua fasa utama:

Fasa 1 – Disember 2024

  • Pelarasan 8 peratus bagi kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional.

  • Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, pelarasan 4 peratus diberikan pada fasa pertama.

    Fasa 2 – Januari 2026

  • Pelarasan tambahan 7 peratus bagi kumpulan pelaksana serta kumpulan pengurusan dan profesional.

  • Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, baki 3 peratus dilaksanakan pada fasa kedua.

Terdahulu, Amirudin menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan memperkenalkan SSPA baharu yang disifatkannya sebagai agenda reformasi penting untuk memperkukuh budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

SSPA yang menggantikan SSM memberi struktur gaji lebih dinamik, dengan kenaikan yang dijangka meningkatkan pendapatan penjawat awam antara 16.8 peratus hingga 42.7 peratus, merangkumi pelarasan gaji serta pergerakan gaji tahunan.

Reformasi ini juga dijangka meningkatkan motivasi, menarik lebih ramai bakat baharu, dan memastikan perkhidmatan awam kekal kompetitif serta responsif terhadap keperluan rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619