Belanjawan Selangor 2026: Fizik, kimia diperkenal dalam PTRS tahun depan

14 Nov 2025, 8:37 AM
Belanjawan Selangor 2026: Fizik, kimia diperkenal dalam PTRS tahun depan

SHAH ALAM, 14 NOV: Dua mata pelajaran baharu fizik dan kimia akan diperkenalkan dalam modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) mulai tahun depan, umum Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam bidang sains serta menyokong perkembangan kurikulum yang lebih menyeluruh.

Beliau turut memaklumkan ePTRS yang menyediakan platform pembelajaran digital seperti e-book, video pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan video pecutan akhir akan terus ditambah baik.

“Ia menerusi penyediaan modul latihan soalan interaktif dan laporan pencapaian yang boleh dipantau menerusi aplikasi ulangkaji.

“Penambahbaikan ini penting bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran dan penilaian impak program. Sehubungan itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM3 juta bagi penyediaan segala keperluan PTRS pada 2026,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2026 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Menurut Amirudin, keberkesanan PTRS yang diterajui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bersama jawatankuasa tetap pendidikan dan modal insan Selangor turut terbukti menerusi keputusan peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2024.

“Gred Purata Negeri (GPN) bagi semua mata pelajaran terlibat meningkat kepada 4.59 pada 2024 berbanding 4.67 pada 2023, sementara jumlah calon layak menerima sijil bertambah kepada 59,403 pada 2024 berbanding 58,082 pada 2023,” katanya.

Tambahnya, untuk terus memperkukuh pencapaian itu, Kerajaan Negeri memperluas PTRS kepada 70,000 pelajar tingkatan lima dan 75,000 pelajar tingkatan empat merangkumi 272 sekolah di seluruh Selangor.

PTRS adalah program bantuan kelas tambahan percuma untuk mata pelajaran bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains, sejarah dan matematik tambahan.

Pada Belanjawan Selangor 2025, RM10 juta diperuntuk bagi PTRS peringkat menengah dan RM1 juta untuk sekolah rendah, memanfaatkan lebih 160,000 pelajar.

Mulai 2026, Kerajaan Negeri turut melaksanakan Program Literasi Kewangan Pelajar dengan peruntukan RM500,000, melibatkan 100 sekolah secara fizikal serta modul dalam talian.

Program itu dijalankan bersama EastSpring Investments Berhad yang diiktiraf Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ini untuk masa depan anak-anak kita agar mereka mahir membuat perancangan kewangan dari peringkat awal. Kerajaan Negeri menginsafi kepentingan perancangan kewangan pada segenap peringkat daripada kerajaan sehingga keluarga dan individu.

“Sekiranya perbelanjaan dan unjuran jangka panjang tidak dirancang secara berhemah, maka itu akan memberikan dampak negatif kepada keselamatan kewangan individu, hubungan pasangan mahupun keluarga,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619