Selangor dijangka kekal catat pertumbuhan 5.0-5.5 peratus tahun depan

14 Nov 2025, 7:32 AM
Selangor dijangka kekal catat pertumbuhan 5.0-5.5 peratus tahun depan
Selangor dijangka kekal catat pertumbuhan 5.0-5.5 peratus tahun depan

SHAH ALAM, 14 NOV: Selangor dijangka mengekalkan pertumbuhan pada kadar sederhana antara 5.0 hingga 5.5 peratus, melebihi purata nasional menjelang 2026, kata Dato' Menteri Besar.

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, ia disokong kepelbagaian struktur industri, sektor berintensif teknologi, kekuatan perusahaan tempatan, dan jaringan logistik bertaraf antarabangsa.

"Walaupun faktor luaran mengekalkan ketidaktentuan ekonomi, permintaan domestik yang kukuh, kadar inflasi terkawal dan pasaran buruh stabil terus menjadi tunjang utama pertumbuhan.

"Imbangan fiskal negeri juga kekal positif, disokong hasil yang mampan dan pengurusan berhemah berasaskan prinsip kelestarian (ESG)," katanya ketika membentang Belanjawan Selangor 2026 hari ini.

Ekonomi Selangor

Jelasnya, pelaburan strategik dalam sektor digital, tenaga bersih, dan logistik sejajar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Tindakan Masa Hadapan Digital Selangor (DxF 2026–2030) akan menjadi pemangkin utama daya saing dan kemampanan jangka panjang negeri.

Beliau merujuk laporan tinjauan Sentimen Perniagaan Selangor 2026 oleh Institut Penyelidikan Selangor, yang menunjukkan lebih separuh firma di negeri ini merancang mengembangkan operasi.

Menurut Amirudin, jumlah itu ialah sebanyak 51.4 peratus, dengan 29.2 peratus menumpukan pengambilan tenaga kerja baharu dan 25.3 peratus kepada pelaburan teknologi.

"Keyakinan tinggi terhadap pasaran domestik, disertai tumpuan kepada transformasi digital dan peningkatan produktiviti, mencerminkan hala tuju perniagaan progresif.

"Walaupun cabaran seperti kenaikan kos operasi, kekurangan tenaga kerja mahir dan akses pembiayaan kekal, sektor perniagaan menunjukkan kematangan dan daya tahan yang semakin meningkat," katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Selangor perlu memperkukuh strategi struktur dan dasar untuk Rancangan Selangor Kedua (2026–2030) dalam menghadapi landskap ekonomi global yang mencabar.

Jelasnya, dasar itu bakal menjadi teras kepada pertumbuhan lebih inklusif, hijau, dan berdaya saing melalui pendekatan bersepadu antara pembangunan ekonomi, sosial, dan alam sekitar.

"Tumpuan strategik harus diberikan kepada peningkatan produktiviti perusahaan mikro, kecil dan sederhana, pemacuan ekonomi digital, pembangunan kemahiran semula tenaga kerja serta pengukuhan tadbir urus fiskal.

"Melalui pendekatan ini, Selangor akan terus menerajui kepimpinan ekonomi negara sebagai negeri paling dinamik, lestari, dan berdaya tahan di rantau ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619