Tengku Zafrul tamat khidmat sebagai Menteri MITI 2 Disember ini

13 Nov 2025, 7:44 AM
Tengku Zafrul tamat khidmat sebagai Menteri MITI 2 Disember ini

KUALA LUMPUR, 13 NOV: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan mengakhiri perkhidmatan beliau berkuat kuasa 2 Disember 2025.

Ketika mengumumkan perkara itu, beliau berkata hari terakhirnya di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga serentak dengan penamatan perkhidmatannya sebagai anggota Dewan Negara.

“Hari terakhir saya di MITI adalah pada 2 Disember 2025. Oleh itu, memandangkan saya bukan lagi anggota Dewan Negara (untuk terus menyandang jawatan itu), sudah semestinya saya tidak boleh meneruskan khidmat sebagai menteri,” katanya pada sidang media mengenai prestasi MITI bagi suku ketiga 2025 di sini, hari ini.

Pada masa sama, Tengku Zafrul menzahirkan hasratnya untuk membantu pengganti beliau dalam tempoh peralihan sebagai menteri baharu.

Ditanya sama ada bersedia untuk terus memainkan peranan sebagai penasihat, beliau berkata tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu setakat ini.

“Tiada sebarang perbincangan mengenainya lagi...namun jika timbul keperluan itu, saya sudah membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan telah menyatakan hasrat untuk terus membantu.

“Oleh itu, saya masih menunggu keputusan perdana menteri. Saya juga tidak rasa perdana menteri membuat sebarang keputusan mengenai peranan saya selepas ini,” katanya.

Tengku Zafrul yang telah berkhidmat sebagai senator selama dua penggal sejak 2020 yang juga tempoh maksimum dibenarkan, akan menamatkan tempoh enam tahun di Dewan Negara pada 2 Disember 2025.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619