Dasar Ekonomi Madani, ketirisan hasil negara antara fokus Dewan Rakyat hari ini

11 Nov 2025, 12:18 AM
Dasar Ekonomi Madani, ketirisan hasil negara antara fokus Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 11 NOV: Keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi MADANI serta jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti oleh agensi penguat kuasa antara perkara dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading) meminta Perdana Menteri menjelaskan bagaimana kerajaan mengukur keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani dalam tempoh 18 hingga 24 bulan.

Beliau juga ingin tahu mengenai usaha pengukuhan yang sedang dan akan dilaksanakan bagi memastikan dasar itu mencapai objektif sepenuhnya, pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) bertanyakan Perdana Menteri berhubung jumlah terkini hasil rampasan dan kutipan penalti yang diperoleh semua agensi penguatkuasaan kerajaan serta langkah yang diambil untuk memperkukuh usaha membanteras ketirisan hasil negara.

Turut menarik perhatian, soalan Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) kepada Menteri Dalam Negeri mengenai jumlah kes tangkapan dan pendakwaan terhadap kes penyalahgunaan kad pengenalan, termasuk kecurian identiti dan penjualan dokumen itu pada sesi soal jawab lisan.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai strategi bagi memastikan data pemilik kad pengenalan dilindungi daripada kecurian identiti dan penjualan dokumen itu, serta mekanisme penguatkuasaan dan pencegahan yang berkesan.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan menyambung semula perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619