Taufan Fung-Wong cetus amaran cuaca buruk di beberapa negeri

10 Nov 2025, 2:59 AM
Taufan Fung-Wong cetus amaran cuaca buruk di beberapa negeri

SHAH ALAM, 10 NOV: Beberapa negeri di Semenanjung dijangka berdepan ribut petir, hujan lebat dan angin kencang susulan kesan daripada Taufan Fung-Wong yang kini sedang melanda kawasan barat Filipina.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan taufan berkenaan dikesan awal pagi tadi berada kira-kira 129 kilometer (km) ke barat daya Vigan City, Filipina dan bergerak ke arah barat laut dengan kelajuan 30 km sejam (km/j).

"Taufan itu turut mencatat kelajuan angin maksimum 120 km/j, dan kini berada pada kedudukan latitud 17.4 darjah utara serta longitud 119.2 darjah timur, kira-kira 1,196 km dari timur laut Kudat, Sabah," katanya dalam kenyataa, hari ini.

MetMalaysia menjelaskan, sistem cuaca tersebut boleh menyebabkan angin kencang serta laut bergelora di beberapa kawasan perairan Laut China Selatan, selain berpotensi membawa hujan lebat di beberapa negeri.

Sehubungan itu, amaran ribut petir dan hujan lebat dikeluarkan bagi kawasan Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Negeri Sembilan serta Johor sehingga 12 tengah hari ini.

Antara kawasan terlibat di Kedah ialah Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Yan, Pendang, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu; manakala di Perak membabitkan Kerian, Larut, Matang dan Selama, Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk serta Hilir Perak.

Bagi Selangor, amaran dikeluarkan untuk daerah Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Petaling, Hulu Langat dan Sepang; di Negeri Sembilan melibatkan Jelebu dan Seremban; manakala di Johor melibatkan Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

"Orang ramai, khususnya nelayan dan penduduk di kawasan pantai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan keadaan laut bergelora serta sentiasa memantau amaran terkini melalui laman web rasmi dan aplikasi MyCuaca," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619