Bot karam: Enam lagi mayat imigran ditemukan terapung

9 Nov 2025, 2:31 PM
Bot karam: Enam lagi mayat imigran ditemukan terapung

ALOR SETAR, 9 NOV: Enam lagi mayat imigran termasuk seorang kanak-kanak perempuan yang dipercayai mangsa bot karam ditemukan terapung di perairan Langkawi, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata penemuan itu menjadikan jumlah keseluruhan imigran yang ditemukan maut ialah tujuh orang.

Beliau berkata sebanyak 13 lagi imigran selamat termasuk tiga yang ditemukan hari ini.

“Pada 3.11 petang, Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi mendapat panggilan berhubung dua lelaki terapung di kawasan tuas Kuala Muda Teriang dan seterusnya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan.

“Pada 5 petang tadi, bot milik Maritim Malaysia, PETIR 81 menemukan mayat seorang kanak-kanak perempuan manakala kira-kira 6.01 petang, bot Jabatan Perikanan menjumpai seorang lelaki yang masih hidup dan terapung.

“Sementara, lima lagi mayat wanita telah ditemukan di dua lokasi berasingan sebelum semuanya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata radius sektor pencarian bagi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) diperluas meliputi 170 batu nautika persegi.

“Operasi CARILAMAT ditangguhkan pada 7 petang hari ini dan akan disambung semula pagi esok,” katanya.

Terdahulu, Operasi CARILAMAT itu dijalankan susulan insiden satu daripada tiga bot yang didakwa membawa kira-kira 300 penumpang imigran karam di Pulau Tarutao di kawasan perairan sebelum sempadan Thailand–Malaysia

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619