Tinjauan Media Selangor: 90 peratus responden harap UPSR dikembalikan

9 Nov 2025, 7:48 AM
Tinjauan Media Selangor: 90 peratus responden harap UPSR dikembalikan

SHAH ALAM, 9 NOV: Masih ramai terutama golongan ibu bapa mengharapkan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan lima tahun lalu dikembalikan.

Berdasarkan tinjauan dibuat Media Selangor di Facebook, kira-kira 90 peratus responden bersetuju peperiksaan besar sekolah rendah itu diteruskan sebagai wadah menguji kefahaman anak-anak.

Pemegang akaun Fazee Adnan berpandangan ujian berkenaan mampu menjadi penanda aras selain dapat menilai kemampuan pelajar.

“Fungsinya menilai anak-anak tahun enam. Bila tiada penanda aras ini, maka cikgu menengah rendah sukar untuk menjangka kemampuan anak. Kembalikan UPSR,” tulisnya.

Sementara itu Hamran Hamid berpendapat UPSR tidak seharusnya dijadikan elemen yang menakuti pelajar memandangkan ia hanya merupakan ujian penilaian.

“Jangan takut untuk anak-anak yang memang sepatutnya mengejar sasaran,” katanya.

Mulai 2021, kerajaan memutuskan UPSR dimansuhkan sepenuhnya manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan pada tahun sama.

Menteri Kanan Pendidikan ketika itu, Datuk Dr Radzi Jidin dilaporkan berkata pemansuhan dibuat hasil libat urus dengan pelbagai pihak sejak peperiksaan itu dibatalkan pada 2020 akibat Covid-19.

Susulan pemansuhan UPSR, katanya pentaksiran berasaskan sekolah selain Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) akan diperkasa bagi murid berhasrat memasuki sekolah berasrama penuh dan sebagainya.

Kelmarin, bekas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik percaya pelaksanaan UPSR wajar dipadankan dengan data raya, jentera pembelajaran dan bantuan kecerdasan buatan (AI) untuk menilai potensi murid melangkaui pencapaian akademik.

Menyokong pandangan sama, seorang lagi bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan pentaksiran nasional wajar dikembalikan bagi membentuk sahsiah murid secara menyeluruh

Manakala tokoh pendidikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom pula mengakui peperiksaan perlu untuk menentukan intervensi bagi memperbaiki kelemahan yang mungkin ada pada murid tertentu.

Dalam tempoh 24 jam sejak tinjauan Media Selangor di Facebook dibuka, seramai 169 responden telah berkongsi pendapat mereka tentang UPSR.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619