DNS tingkat kecekapan persidangan, sistem e-Sidang dilaksana sepenuhnya tahun depan

9 Nov 2025, 1:35 AM
DNS tingkat kecekapan persidangan, sistem e-Sidang dilaksana sepenuhnya tahun depan

SHAH ALAM, 9 NOV: Sistem e-Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bakal diperluas sepenuhnya tahun depan bagi mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan urusan persidangan.

Speaker DNS, Lau Weng San berkata pihaknya turut meninjau inisiatif serta peluang penerapan kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan dan perjalanan persidangan.

Menurutnya, usaha berkenaan bukan sahaja diterajui oleh Kerajaan Negeri, malah turut disokong oleh Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC) melalui inisiatif Teraju AI Selangor.

“Pada masa hadapan, cabaran yang bakal dihadapi DNS tidak mudah. Kita berdepan dengan harapan rakyat yang tinggi, isu perubahan iklim, ketidaktentuan geopolitik serantau serta kesan daripada kemajuan teknologi yang begitu pesat.

“Namun saya yakin, dengan semangat kerjasama, integriti dan komitmen yang utuh daripada semua pihak, DNS akan terus menjadi platform wacana yang berwibawa dalam mengatasi cabaran-cabaran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sembah ucapan menerusi Majlis Santapan Malam Sempena Ulang Tahun ke-66 Dewan Negeri Selangor di Hotel Concorde di sini, malam tadi.

Majlis tersebut turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj serta DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.

Sementara itu, Weng San menyeru semua Ahli Dewan Negeri (ADN) agar terus bekerjasama tanpa mengira perbezaan fahaman politik demi memastikan setiap perbahasan memberi manfaat kepada rakyat Selangor.

“Marilah kita terus menjunjung tinggi Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, memelihara kedaulatan undang-undang, serta menjadi suara yang tulus dan berprinsip bagi mewakili amanah rakyat yang memilih kita,” tambahnya.

Sistem e-Sidang ialah platform digital yang mengurus keseluruhan persidangan secara tanpa kertas.

Melalui sistem ini, kehadiran ADN, akses dokumen, proses penggulungan, soalan lisan dan bertulis serta undian boleh dibuat secara elektronik dan masa nyata.

Sistem tersebut turut memudahkan pengurusan hansard, rakaman sidang dan penyimpanan rekod rasmi secara teratur, sekali gus menjadikan proses persidangan lebih cekap, cepat dan telus.

Penggunaan e-Sidang juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri ke arah pendigitalan pentadbiran serta pengurusan dewan yang lebih moden.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619