MBPJ perluas inisiatif hentian bas mesra kanak-kanak ke tiga sekolah

8 Nov 2025, 5:00 AM
MBPJ perluas inisiatif hentian bas mesra kanak-kanak ke tiga sekolah

SHAH ALAM, 8 NOV: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperluas inisiatif Perhentian Bas Mesra Kanak-kanak ke tiga sekolah terpilih tahun ini bagi menyediakan kemudahan selesa dan inklusif.

Sekolah berkenaan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, SMK (L) Bukit Bintang dan Sekolah Kebangsaan Petaling Jaya, menurut pihak berkuasa tempatan (PBT) itu di Facebook.

MBPJ menjelaskan pemilihan itu susulan kejayaan projek perintis di SMK Assunta, yang dirasmikan Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah pada 20 Jun 2024.

"MBPJ kekal komited dalam mewujudkan persekitaran pengangkutan awam yang lebih selamat, inklusif dan mesra kanak-kanak, seiring aspirasi menjadikan Petaling Jaya bandar raya yang menitikberatkan kebajikan dan masa depan generasi muda," jelasnya.

Menurut PBT itu, sesi libat urus bersama 23 pelajar dan guru pengiring turut diadakan baru-baru ini bagi memastikan reka bentuk hentian bas lebih efektif dan menepati keperluan pengguna muda.

Dalam sesi tersebut, peserta berkongsi idea, pandangan serta input penting berkaitan aspek keselamatan, keselesaan dan aksesibiliti, selaras prinsip bandar mesra kanak-kanak.

"Usaha ini membuktikan bahawa suara dan pandangan kanak-kanak turut diiktiraf sebagai sebahagian daripada proses pembangunan bandar yang inklusif," kata MBPJ.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619