EXCO: Selangor sokong usaha Persekutuan tangani peningkatan kes cerai

7 Nov 2025, 4:30 AM
EXCO: Selangor sokong usaha Persekutuan tangani peningkatan kes cerai

SHAH ALAM, 7 NOV: Kerajaan Negeri Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menyokong usaha Kerajaan Persekutuan membendung peningkatan kes penceraian di seluruh negara.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata Selangor menyambut baik projek rintis dikendalikan Putrajaya bagi mengurangkan kadar penceraian melalui penubuhan badan pendamai perkahwinan sivil.

“Selangor menyokong penuh projek rintis nasional yang diumumkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri untuk menurunkan kadar penceraian melalui kaunseling serta intervensi yang disasarkan.

“Usaha memperkukuh institusi kekeluargaan memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama kerajaan Persekutuan dan negeri, badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti bagi membina keluarga berdaya tahan dan mencegah keretakan rumah tangga sebelum berlaku,” katanya kepada Media Selangor.

Minggu lalu, Nancy mengumumkan projek rintis berkenaan yang menunjukkan hasil memberangsangkan di ibu negara akan diperluas ke seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Badan pendamai perkahwinan sivil yang diperkenal di Kuala Lumpur tahun lalu berjaya mendamaikan 16 peratus daripada 83 pasangan yang menyertainya, manakala 33 peratus lagi bersetuju meneruskan sesi kaunseling keluarga dan perkahwinan.

Menurut Anfaal, Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama pihak berkuasa agama negeri turut menyediakan khidmat kaunseling untuk pasangan Islam melalui platform Sistem Pengurusan Perkahwinan Islam Malaysia (SPPIM).

Sementara itu, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menawarkan khidmat kaunseling keluarga dan perkahwinan kepada semua lapisan masyarakat termasuk bukan Islam bagi memupuk kesejahteraan hubungan serta menyelesaikan konflik pada peringkat awal.

“Di Selangor, kita juga sedar tekanan kewangan sering menjadi punca kepada ketegangan rumah tangga.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan negeri memperkenalkan pelbagai program bagi meringankan beban keluarga dan mengukuhkan daya tahan ekonomi seperti BINGKAS (Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor), MamaKerja serta skim kebajikan lain yang membantu mengurangkan tekanan kewangan sebagai faktor utama konflik,” ujar Anfal lagi.

Kerajaan Selangor menyalurkan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS) sebanyak RM300 sebulan atau RM3,600 setahun kepada keluarga kurang berkemampuan yang terbeban dengan kenaikan kos sara hidup. Foto ARKIB SELANGORKINI

Sebelum ini, Ketua Hakim Syarie Selangor Datuk Mohammad Adib Husain dilapor berkata masalah kewangan dan komunikasi merupakan antara punca utama penceraian pasangan Islam di negeri ini.

Beliau memaklumkan sebanyak 10,815 kes perceraian pasangan Islam direkodkan di Selangor dari Januari hingga September tahun ini.

Anfaal menambah, selain bantuan kewangan, Selangor turut menekankan aspek ikatan emosi kekeluargaan melalui penganjuran program seperti Karnival Ceria Selangor di daerah termasuk Gombak dan Sabak Bernam bagi menggalakkan keharmonian serta komunikasi keluarga melalui aktiviti berasaskan komuniti.

Di bawah Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024–2030, kerajaan negeri juga memperluas perkhidmatan penjagaan kanak-kanak, warga emas dan komuniti bagi mengurangkan tekanan kepada ibu bapa bekerja serta penjaga.

“Visi kita adalah membina keluarga yang kukuh dan penyayang sebagai asas kepada Selangor yang prihatin serta makmur,” katanya.

Dalam pada itu, LPPKN memaklumkan agensi berkenaan akan melaksanakan beberapa program tahun depan bagi memperkasa institusi kekeluargaan dan keibubapaan bertanggungjawab, termasuk program Pemerkasaan Bapa di peringkat negeri bagi menggalakkan hubungan erat antara bapa dan anak lelaki.

“Inisiatif lain seperti ‘Lelaki Budiman’ masih di peringkat perancangan di kementerian dan belum diperluas ke negeri,” jelas agensi itu.

Program berkenaan antara yang dicadangkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memperkukuh institusi keluarga di negara ini.

Pada November tahun lalu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin mendedahkan jumlah perkahwinan di Malaysia menurun sebanyak 12.5 peratus, daripada 215,022 pada tahun 2022 kepada 188,100 pada 2023, manakala Kadar Perkahwinan Kasar turut merosot daripada 6.6 kepada 5.7 bagi setiap seribu penduduk.

Perkahwinan pasangan Islam merangkumi 74.5 peratus daripada keseluruhan perkahwinan pada 2023, namun penurunan ketara disumbang oleh pengurangan 16.8 peratus dalam jumlah perkahwinan Islam — daripada 168,467 pada 2022 kepada 140,176 tahun berikutnya.

Selangor, Kelantan dan Johor mencatat penurunan tertinggi bagi perkahwinan Islam, manakala Johor, Sarawak dan Kuala Lumpur menunjukkan peningkatan ketara dalam perkahwinan bukan Islam.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619