Langkah bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan berisiko tinggi

5 Nov 2025, 11:44 AM
Langkah bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan berisiko tinggi
Langkah bawa kes ke Mahkamah Timbang Tara Sukan berisiko tinggi

SHAH ALAM, 5 NOV: Keputusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membawa isu pemain warisan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas rayuan ditolak Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) disifatkan langkah berisiko tinggi kepada bola sepak negara.

Bekas Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Azzuddin Ahmad berkata, tindakan mencabar keputusan FIFA itu bukan jalan terbaik kerana boleh mengundang padah sekiranya FAM digantung.

“Sekarang ini FIFA sudah menolak rayuan FAM. Prosedur seterusnya hanya tinggal ke CAS, namun bagi saya langkah itu bukanlah terbaik.

Implikasinya, organisasi kita mungkin digantung juga. Bila itu berlaku, semua aktiviti bola sepak termasuk Liga Malaysia terhenti serta-merta,” katanya ketika ditemui pada majlis Walk With King Of Sport di Stadium Merdeka, hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau menasihatkan FAM agar menerima keputusan itu dan mengakui wujudnya kelemahan tanpa perlu menafikan kesilapan yang berlaku.

Azzuddin turut menjelaskan bahawa bukti dan dokumentasi dikemukakan FIFA berhubung isu tersebut sudah cukup jelas dan sukar disangkal.

“Kalau diteruskan, saya bimbang ia akan menimbulkan lebih banyak persoalan termasuk mengaitkan jabatan kerajaan seperti pendaftaran serta imigresen. FIFA sudah kemukakan bukti kukuh, jadi tak perlulah kita melawan arus,” katanya.

Sebelum ini, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan keputusan menggantung tujuh pemain negara serta mengenakan denda terhadap FAM selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Disiplin FIFA berkaitan pemalsuan dokumen.

FAM turut dikenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta), manakala tujuh pemain — Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — masing-masing digantung 12 bulan dan didenda 2,000 Swiss franc (sekitar RM10,800).

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619