Pura-pura bawa lihat rumah, warga China rugi lebih RM1 juta ditipu

5 Nov 2025, 9:23 AM
Pura-pura bawa lihat rumah, warga China rugi lebih RM1 juta ditipu

SHAH ALAM, 5 NOV: Lelaki warga China kerugian lebih RM1 juta selepas diperdaya sekumpulan individu yang berpura-pura membawanya meninjau sebuah rumah di Taman Duta, Kuala Lumpur sebelum dikurung dan diugut memindahkan wang ke dalam akaun suspek, Sabtu lalu.

Menurut sumber, kejadian berlaku sekitar jam 10 malam apabila mangsa berusia 37 tahun itu menikmati makan malam bersama rakan kongsi dan beberapa individu lain termasuk isteri kenalannya.

“Mangsa dibawa ke sebuah kediaman kononnya untuk memberikan pandangan terhadap rumah berkenaan.

“Namun setibanya di lokasi, dia dibawa masuk ke sebuah bilik dan terkejut melihat empat lelaki bertopeng serta memakai pelitup muka sambil mengacu pisau dan kayu,” katanya, lapor Harian Metro.

Mangsa kemudian dipaksa memindahkan wang tunai secara dalam talian ke beberapa akaun bank dengan jumlah keseluruhan melebihi RM1 juta, sebelum dikurung di bilik berkenaan.

Selepas suspek melarikan diri, mangsa berjaya memecahkan pintu bilik dan melaporkan kejadian di Balai Polis Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari, mengesahkan menerima laporan berhubung insiden itu.

“Polis menahan empat individu iaitu tiga lelaki dan seorang wanita, kesemuanya warga China, bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 342, Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619