Belanjawan Selangor 2026 terus perkasa ekonomi dan kebajikan

9 Nov 2025, 12:00 AM
Belanjawan Selangor 2026 terus perkasa ekonomi dan kebajikan

SHAH ALAM, 9 NOV: Belanjawan Selangor 2026 yang bakal dibentang pada 14 November ini dijangka terus memperkasa agenda kebajikan rakyat serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri, kata EXCO Pelancongan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim.

Beliau berkata antara keutamaan Kerajaan Negeri adalah memastikan Selangor kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara, di samping mengekalkan kesejahteraan rakyat.

“Selangor terus maju ke hadapan dengan mengangkat martabat rakyat dalam konteks kemajuan ekonomi. Pada masa sama, kebajikan rakyat kekal menjadi agenda utama,” katanya kepada Media Selangor.

Menurutnya, sambutan positif terhadap pelbagai inisiatif kebajikan membuktikan sokongan padu rakyat kepada Kerajaan Negeri, sekali gus menggalakkan usaha meneruskan bantuan sedia ada khususnya kepada golongan sasar.

“Saya harap semua bantuan dapat diteruskan untuk seluruh rakyat Selangor, khususnya kepada golongan yang memerlukan. Beberapa komponen di bawah Rancangan Selangor 1 (RS-1) termasuk pembangunan kawasan seperti Idris dan Sabda akan diteruskan bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Rancangan Selangor 2 (RS-2) yang bakal dibentang Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pula akan menumpukan kepada aspek digitalisasi, bandar pintar, kecerdasan buatan (AI) serta menarik lebih banyak pelaburan baharu,” katanya.

Mengulas fokus portfolio beliau, Suee Lim berkata tumpuan khusus akan diberikan kepada pemerkasaan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan tempatan melalui penubuhan Perbadanan Metropolitan Selangor bagi memastikan pihak berkuasa tempatan (PBT) lebih efisien, digital dan responsif.

“Kita mahu ‘Speed Selangor’ direalisasikan bagi membantu industri menjimatkan masa dan kos supaya kekal kompetitif dalam cabaran global,” ujarnya sambil menambah sektor semikonduktor dan AI turut menjadi tumpuan bagi mengekalkan Selangor sebagai pemacu ekonomi negara.

Bagi sektor pelancongan, katanya, Selangor menyasarkan kehadiran 10 juta pelancong pada 2026 sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan tema baharu ‘Tak perlu jauh, Selangor kan ada’.

“Selangor akan terus mendukung kempen nasional untuk menarik lebih ramai pengunjung ke Malaysia, khususnya ke negeri ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri kini berusaha mendapatkan pengiktirafan UNESCO bagi kawasan Gombak–Hulu Langat Geopark menjelang 2028.

“Sebuah jawatankuasa khas yang dianggotai pakar akademik telah ditubuhkan bagi penyelidikan dan penyediaan dokumentasi mengikut piawaian ketat badan antarabangsa itu.

“Pengiktirafan ini berpotensi menjadi tarikan pelancong antarabangsa sekali gus memberi impak ekonomi kepada masyarakat setempat. Ia bukan proses mudah dan memerlukan peruntukan khusus dalam belanjawan kali ini,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619