61 pelajar Malaysia terkandas di Jakarta, polis siasat ejen pelancongan

5 Nov 2025, 1:49 AM
61 pelajar Malaysia terkandas di Jakarta, polis siasat ejen pelancongan

SHAH ALAM, 5 NOV: Polis sudah membuka kertas siasatan susulan 61 pelajar Malaysia yang dilaporkan terkandas lebih tiga jam di Lapangan Antarabangsa Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia akibat masalah pengurusan ejen pelancongan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata setakat ini sebanyak tujuh laporan polis sudah diterima berhubung kejadian itu, lapor Harian Metro.

"Siasatan sedang berjalan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia menghulurkan bantuan segera kepada 61 pelajar yang dilaporkan terkandas lebih tiga jam di Lapangan Antarabangsa Terbang Soekarno-Hatta akibat masalah pengurusan ejen pelancongan 23 Oktober lalu.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin dilaporkan berkata, sebaik dimaklumkan mengenai kejadian itu, pihak kedutaan terus mengambil tindakan pantas dengan menempatkan semua pelajar berkenaan di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang dengan bantuan ejen pelancongan tempatan yang juga rakyat Malaysia.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian sekumpulan pelajar dari Malaysia yang mendakwa ditipu ejen pelancongan tempatan apabila terpaksa menunggu lebih tiga jam selepas mendarat di lapangan terbang berkenaan sebelah tengah hari.

Susulan itu, sebuah syarikat ejen pelancongan milik rakyat Malaysia dihubungi oleh pihak kedutaan bagi membantu menguruskan kumpulan pelajar berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619