Kapal Ex-USGC Steadfast tiba selepas berlayar 10,600 batu, perkukuh aset Maritim Malaysia

4 Nov 2025, 8:26 AM
Kapal Ex-USGC Steadfast tiba selepas berlayar 10,600 batu,  perkukuh aset Maritim Malaysia
Kapal Ex-USGC Steadfast tiba selepas berlayar 10,600 batu,  perkukuh aset Maritim Malaysia
Kapal Ex-USGC Steadfast tiba selepas berlayar 10,600 batu,  perkukuh aset Maritim Malaysia

PELABUHAN KLANG, 4 NOV: Ketibaan Kapal Ex-USCG Cutter Steadfast milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) hari ini memperkukuh keupayaan operasi keselamatan maritim negara.

Kapal yang diterima daripada Pengawal Pantai Amerika Syarikat (USCG) itu selamat tiba di Pusat Hidrografi Nasional (PHN), Pulau Indah setelah mengharungi pelayaran mencabar sejauh 10,600 batu nautika dari Baltimore, Amerika Syarikat.

Hujan rahmat turut mengiringi detik bersejarah tersebut yang disambut Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli Abdullah bersama barisan kepimpinan tertinggi agensi itu.

Menurut Mohd Rosli, kejayaan membawa pulang kapal berkenaan membuktikan ketahanan serta profesionalisme tinggi warga Maritim Malaysia dalam operasi merentas sempadan.

“Alhamdulillah, pelayaran ini bukan sahaja menguji ketahanan mental dan fizikal kru, malah membuktikan keupayaan tinggi anggota Maritim Malaysia dalam mengemudi kapal di perairan antarabangsa,” katanya.

Beliau turut menyifatkan ketibaan kapal ini sebagai satu pencapaian besar dalam usaha memperkukuh keselamatan serta keberkesanan operasi aset di Zon Maritim Malaysia.

Turut hadir menyambut ketibaan ialah Timbalan Ketua Pengarah Logistik, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim, Ketua Pengarah PHN, Laksamana Muda Dr Najhan Md Said serta wakil Kedutaan Amerika Syarikat di Malaysia.

Sementara itu, Komander Maritim Mohd Fahimi Omar yang mengetuai misi tersebut memaklumkan kapal berkenaan telah merentasi tujuh lautan dan empat teluk utama dunia sepanjang pelayaran selama 49 hari.

“Kami melalui Lautan Atlantik, Laut Mediterranean, Laut Merah, Laut Arab, Lautan Hindi, Laut Andaman dan Laut China Selatan, serta Teluk Chesapeake, Aden, Mannar dan Bengal.”

Fahimi turut berkongsi bahawa mereka berjaya menempuh dua laluan maritim tersibuk dunia iaitu Selat Gibraltar dan Selat Melaka, selain melalui Terusan Suez yang terkenal dengan cabaran navigasi tinggi.

“Pelayaran kru selama 49 hari ini menjadi antara misi terpanjang dan paling bersejarah sejak Maritim Malaysia ditubuhkan dua dekad lalu,” jelas beliau.

Tambahnya, pengalaman tersebut amat bermakna kepada semua 50 kru yang terlibat, selain menyumbang kepada pembangunan kapasiti dan kesiapsiagaan operasi Maritim Malaysia.

Suasana sambutan turut diserikan dengan kehadiran keluarga kru yang menantikan kepulangan mereka setelah hampir empat bulan terpisah demi menjayakan misi negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619