Lebih 20 tahun ceroboh tanah kerajaan, 40 kilang haram di Sungai Buloh diroboh

4 Nov 2025, 7:27 AM
Lebih 20 tahun ceroboh tanah kerajaan, 40 kilang haram di Sungai Buloh diroboh
Lebih 20 tahun ceroboh tanah kerajaan, 40 kilang haram di Sungai Buloh diroboh
Lebih 20 tahun ceroboh tanah kerajaan, 40 kilang haram di Sungai Buloh diroboh
Lebih 20 tahun ceroboh tanah kerajaan, 40 kilang haram di Sungai Buloh diroboh

SHAH ALAM, 4 NOV: Sebanyak 40 kilang dan sebuah rumah yang beroperasi tanpa kebenaran lebih 20 tahun di atas tanah kerajaan di Sungai Buloh dirobohkan dalam operasi besar-besaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor, semalam.

Penolong Pengarahnya, Mohammad Nadzirul Hafizie M Daud berkata tindakan itu diambil selepas mendapati kawasan berkenaan digunakan secara haram tanpa kelulusan rasmi.

Menurutnya, perobohan dijalankan mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) yang melarang keras pencerobohan dan penggunaan tanah kerajaan tanpa kebenaran.

“Kawasan yang diceroboh ini merupakan bekas tanah rizab Tenaga Nasional Berhad (TNB) berstatus tanah kerajaan.

"Kami telah mengeluarkan notis amaran kepada semua pemilik premis agar mengosongkan kawasan sebelum tindakan perobohan dijalankan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Penolong Pengarah PTG Selangor, Mohammad Nadzirul Hafizie M Daud bercakap kepada media dalam operasi perobohan kilang haram di Sungai Buloh pada 4 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Operasi bersepadu itu membabitkan 400 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Air Selangor, TNB dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Kawasan terbabit seluas empat hektar menempatkan pelbagai premis seperti bengkel kenderaan, kilang besi, stor simpanan dan industri ringan.

Tambah Mohammad Nadzirul, sebahagian pemilik premis sebelum ini mempunyai lesen pendudukan sementara, namun lesen tersebut sudah lama tamat tempoh dan tidak diperbaharui.

“Kerajaan Negeri tidak menghalang pembangunan atau aktiviti ekonomi, namun semua pihak perlu memastikan perniagaan dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan,” ujarnya lagi.

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri menawarkan insentif diskaun 30 peratus bagi bayaran premium kepada mana-mana pemilik premis yang ingin menguruskan semula lesen pendudukan secara sah.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor bercakap kepada media dalam operasi perobohan kilang haram di Sungai Buloh pada 4 November 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata pihaknya melaksanakan dua operasi di kawasan berkenaan bagi membantu kelancaran penguatkuasaan agensi terlibat.

“Polis sentiasa komited memberi bantuan kepada agensi kerajaan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang dapat dilaksanakan dengan baik serta memastikan keselamatan di lokasi operasi,” katanya.

Kerja-kerja pembersihan tapak kini dijalankan secara berperingkat bagi membolehkan tanah kerajaan itu dimanfaatkan semula untuk tujuan pembangunan sah dan terancang.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619