Hannah terkilan penganjur didakwa gunakan kanak-kanak mohon maaf isu kejohanan WWC

4 Nov 2025, 5:16 AM
Hannah terkilan penganjur didakwa gunakan kanak-kanak mohon maaf isu kejohanan WWC

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh meluahkan rasa sedih dan ralat terhadap tindakan penganjur Warzone World Championship (WWC) yang didakwanya menggunakan peserta kanak-kanak mengemukakan permohonan maaf kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung penganjuran kejohanan tersebut.

Hannah dalam satu hantaran di media sosial berkata tindakan tersebut tidak wajar dan menimbulkan persoalan tentang kebertanggungjawaban pihak penganjur, memandangkan acara tersebut dijalankan tanpa kelulusan rasmi daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

“Tolong jangan gunakan kanak-kanak untuk membuat penjelasan seperti ini. KBS tidak memerlukan anak kecil ini untuk meminta maaf. Anak kecil tidak salah. Penganjur perlu bertanggungjawab,” katanya.

Semalam, peserta kanak-kanak tersebut dalam satu video berdurasi hampir tiga minit memohon maaf kepada Hannah, timbalannya Adam Adli Abd Halim, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek atas insiden yang berlaku pada sidang media kejohanan WWC, baru-baru ini.

KBS dalam kenyataan Ahad lalu memaklumkan kejohanan yang dijadual berlangsung Disember ini, tidak mendapat kelulusan mereka.

Menurut KBS, sebarang penganjuran acara sukan, khususnya yang melibatkan penyertaan antarabangsa, perlu mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) selaras dengan Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].

Terdahulu, tular video sidang media kejohanan WWC yang memaparkan dua kanak-kanak dipercayai peserta kejohanan itu, bergaduh ketika sesi pengenalan.

Insiden berkenaan mengundang reaksi negatif pengguna media sosial yang menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut berhubung penganjuran kejohanan berkenaan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619