Isteri mangsa tembak di Golok trauma, masih terbayang detik tragis

3 Nov 2025, 12:57 AM
Isteri mangsa tembak di Golok trauma, masih terbayang detik tragis
Isteri mangsa tembak di Golok trauma, masih terbayang detik tragis

SHAH ALAM, 3 NOV: Keluarga kepada Mohd Fuad Fahmie Ghazali, 33, yang maut ditembak di Sungai Golok, Thailand, masih trauma dengan kejadian tragik itu, terutama isterinya Wan Fatihah Mat Husin, 35, yang sarat mengandung.

Menurut ibu mangsa, Zaiton Abdul Rahman, 64, menantunya masih dalam keadaan terkejut dan tidak mampu berada di rumah mereka kerana terbayang detik kejadian yang berlaku di depan matanya.

“Selepas majlis pengebumian semalam, menantu saya masih sangat sedih dan trauma. Dia terbayang keadaan suaminya ditembak bertalu-talu ketika cuba melindunginya,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Harian Metro.

Zaiton berkata, menantunya pulang ke rumah ibunya di Golok malam tadi namun akan pulang ke Malaysia hari ini bagi menjalani pemeriksaan kandungan.

“Insya-Allah, jika diizinkan, dia akan bersalin dan berpantang di sini. Kami hanya berdoa agar terus kuat menghadapi kehilangan ini,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa Thailand sudah mengesan kedudukan suspek yang menembak anaknya dan berharap pelaku menerima hukuman setimpal.

Media semalam melaporkan Mohd Fuad, peniaga beg dan batu permata, maut selepas dipercayai ditembak 18 das oleh dua individu dikenali di rumahnya di Sungai Golok.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Golok pada jam 9 malam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619