Kajian haramkan Roblox, UMI langkah tepat, kekang unsur keganasan, negatif

3 Nov 2025, 12:07 AM
Kajian haramkan Roblox, UMI langkah tepat, kekang unsur keganasan, negatif
Kajian haramkan Roblox, UMI langkah tepat, kekang unsur keganasan, negatif
Kajian haramkan Roblox, UMI langkah tepat, kekang unsur keganasan, negatif

SHAH ALAM, 3 NOV: Tindakan kerajaan meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI adalah tepat, kata EXCO sukan.

Najwan Halimi berkata sudah tiba masanya langkah segera diambil bagi mengekang permainan dalam talian berunsur keganasan dan negatif disekat.

“Saya mengalu-alukan langkah ini dan sampai masanya kerajaan bertindak tegas dan mengharamkan permainan atas talian yang berisiko mendedahkan anak-anak dengan elemen negatif seperti Roblox.

“Bukan sahaja Roblox tetapi kerajaan juga perlu teliti setiap perisian permainan dalam talian lain yang juga mempunyai unsur ganas dan merosakkan minda masyarakat khususnya kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.

Baru-baru ini, Najwan berkata Selangor akan mengadakan perbincangan dengan persatuan e-sukan berhubung isu permainan video dalam talian yang mengandungi unsur keganasan termasuk Roblox.

Beliau turut mencadangkan agar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Kementerian Digital menyemak semula kandungan dan perisian permainan berunsur ganas yang mudah dimuat turun ke dalam telefon pintar.

Pada masa sama, Mohd Najwan juga menyeru ibu bapa agar lebih tegas dan peka terhadap aktiviti anak-anak di dunia maya.

Baru-baru ini kanak-kanak lelaki berusia enam tahun parah dikelar di leher dan ditikam di badan dalam kejadian di Kampung Parit Nipah Laut, Parit Raja, Batu Pahat.

Polis Johor tidak menolak kemungkinan kejadian itu berpunca daripada pengaruh permainan dalam talian popular, Roblox.

Susulan kejadian tersebut, ibu bapa kanak-kanak itu, masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an, ditahan bagi membantu siasatan.

Kelmarin Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat memaklumkan kerajaan sedang meneliti kemungkinan mengharamkan aplikasi permainan dalam talian popular Roblox dan UMI.

Menurut Datuk Seri Nancy Shukri, ia susulan kebimbangan mengenai keselamatan dan kandungan yang mempengaruhi golongan muda.

Katanya, perkara itu masih di peringkat perbincangan, dengan keputusan muktamad akan mengambil kira langkah bakal diambil oleh Australia yang merancang melaksanakan peraturan baharu terhadap Roblox Disember ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619