Syed Saddiq raih RM1 juta untuk Muar, tamatkan Ironman bawah 13 jam

1 Nov 2025, 2:40 PM
Syed Saddiq raih RM1 juta untuk Muar, tamatkan Ironman bawah 13 jam

LANGKAWI, 1 NOV: Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhasil membawa pulang sumbangan RM1 juta untuk kebajikan rakyat di kawasannya selepas berjaya mengharungi cabaran Kejohanan Ironman Malaysia di Langkawi, hari ini dalam masa kurang 13 jam.

Bekas Menteri Belia dan Sukan berusia 32 tahun itu berjaya menamatkan perlumbaan yang melibatkan disiplin berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180 km dan larian 42.2 km dengan catatan masa 12 jam 22 minit 18 saat.

“Saya datang ke sini dengan satu matlamat iaitu untuk mendapatkan RM1 juta untuk Muar… Alhamdulillah, saya berjaya merekodkan catatan masa bawah 13 jam, jadi sekarang Prima Valet perlu penuhi janji mereka iaitu RM1 juta untuk bank makanan, komputer riba dan baju raya.

“Saya akan lakukan apa sahaja untuk pastikan kebajikan rakyat saya dijaga dengan baik. Walaupun muntah beberapa kali kerana berasa kurang sihat, saya nekad untuk habiskan kerana rakyat Muar sentiasa dalam fikiran dan saya sama sekali tidak akan menghampakan mereka,” katanya kepada pemberita selepas menamatkan kejohanan itu.

Beliau berkata larian merupakan disiplin paling mencabar buat dirinya, ditambah dengan keadaan dirinya yang berasa kurang sihat, namun gembira kerana dapat memperbaiki catatan masanya berbanding tahun lepas iaitu 13 jam 13 minit 50 saat.

“Saya sertai kejohanan ini kerana ingin cuba menguji kemampuan fizikal dan mental… tadi, saya terfikir mengapa saya menyeksa diri tetapi apabila berjaya melepasi garisan penamat, saya kata pada diri sendiri akan sertai lagi tahun hadapan.

“Kalau diberikan kudrat yang kuat, mungkin pada usia 100 tahun saya masih akan terus sertai sukan triathlon ini kerana mahu pastikan badan dan minda saya sentiasa cergas kerana untuk menjadi seorang pemimpin, tidak kiralah dalam bidang politik atau tidak, kita perlu berada dalam keadaan kuat sentiasa,” katanya.

Sebelum ini, syarikat fesyen tempatan, Prima Valet berjanji akan menyumbangkan RM1 juta kepada penduduk Muar sekiranya Syed Saddiq berjaya menamatkan Kejohanan Ironman Malaysia dalam masa kurang 13 jam.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619