Tiada kompromi dalam standard halal negara - Jakim

31 Okt 2025, 12:20 PM
Tiada kompromi dalam standard halal negara - Jakim

SHAH ALAM, 31 OKT: Kerajaan menegaskan tidak pernah berkompromi terhadap standard pensijilan halal, sekali gus menolak dakwaan kononnya negara ini melonggarkan piawaian halal dalam perjanjian perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata tuduhan itu tidak berasas dan boleh menjejaskan reputasi serta integriti Sistem Pensijilan Halal Malaysia yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

"Perlu ditegaskan bahawa Malaysia tidak sesekali berkompromi terhadap standard halal Malaysia. Mana-mana badan pensijilan halal luar negara, termasuk dari AS tetap tertakluk sepenuhnya kepada prosedur, syariah dan standard halal Malaysia.

"Perkara 2.5 hanya memperuntukkan penggunaan logo halal daripada badan pensijilan yang diiktiraf oleh Jakim bagi tujuan pentadbiran dan kelancaran proses kelulusan.

"Namun demikian, semua proses pengauditan, pemantauan dan pengesahan akhir berada sepenuhnya di bawah kawalan Jakim," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kelulusan halal bagi loji sembelihan di luar negara hanya diberi selepas pengauditan menyeluruh dijalankan mengikut Standard Malaysia serta Malaysian Protocol for Halal Meat & Poultry Production dengan kehadiran sekurang-kurangnya dua pegawai syariah daripada badan diiktiraf.

“Sebarang badan pensijilan halal luar negara yang ingin mengekalkan pengiktirafan Jakim mesti mematuhi sepenuhnya keperluan Malaysia, termasuk aspek syariah, keselamatan, kebersihan dan prosedur audit tanpa pengecualian,” tegasnya.

Mohd Na’im turut menegaskan pengiktirafan sijil halal luar negara tidak bermakna berlaku kelonggaran, sebaliknya bagi mempercepat urusan pentadbiran dan memperkukuh hubungan perdagangan dua hala.

Katanya, semua produk import tetap tertakluk kepada audit dan pemantauan Jakim serta peruntukan Akta Perihal Dagangan 2011 bagi menjamin integriti sistem halal negara.

“Standard pensijilan halal Malaysia kekal utuh dan tidak akan dikompromi dalam apa jua keadaan,” katanya.

Tambah beliau, segala perjanjian antarabangsa yang ditandatangani Malaysia tertakluk kepada pemakaian peraturan sedia ada.

"Sebarang penambahbaikan hanyalah bagi mempercepatkan proses pentadbiran, tanpa menjejaskan prinsip dan ketegasan standard halal Malaysia," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619