Inisiatif PJ City Watch kesan 77 kes buang sampah haram, pesalah dikompaun

31 Okt 2025, 10:34 AM
Inisiatif PJ City Watch kesan 77 kes buang sampah haram, pesalah dikompaun
Inisiatif PJ City Watch kesan 77 kes buang sampah haram, pesalah dikompaun

PETALING JAYA, 31 OKT: Inisiatif PJ City Watch, kaedah pengawasan melalui CCTV yang dilaksanakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesan 77 kes pembuangan sampah haram melibatkan 42 individu, tiga premis syarikat dan 32 kenderaan.

Datuk Bandar Mohamad Zahri Samingon berkata pihaknya juga telah mengeluarkan 324 kompaun dengan hampir separuh telah dijelaskan.

MBPJ turut merekodkan 134 kes tangkapan melibatkan 72 individu, 48 syarikat dan 14 kenderaan (termasuk satu kes melarikan diri daripada sitaan).

Menurut beliau, sebanyak 16 lokasi titik panas kini dipasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kegiatan pembuangan sampah haram secara lebih berkesan.

“PJ City Watch menunjukkan keberkesanan apabila jumlah lokasi pembuangan sampah haram menurun daripada 48 kepada 43 setakat ini.

“Kita sudah pasang 15 CCTV, dan dalam tempoh seminggu selepas dikenal pasti, mereka yang membuang sampah secara haram akan dikenakan kompaun terus ke rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kutipan Sampah Domestik dan Pembersihan Awam bagi kawasan MBPJ di pekarangan parkir ibu pejabat MBPJ, di sini hari ini.

Jelas Mohamad Zahri, selain mengesan pembuangan sampah, PJ City Watch turut berfungsi memantau kehadiran pekerja pembersihan di 16 lokasi titik panas tersebut.

Antara lokasi dikenal pasti adalah PJS 1/21A, Jalan SS 2/45, Jalan Jenjarum, Jalan PJU 1/34, Jalan 1/10, PJU 1A/3B, Jalan 17/1, Jalan PJU 1A/18, Jalan PJS 6/3B, Jalan SS 7/2, Flat Impian Baiduri, Jalan 1/15, SS 3/29, PJS 5/26, SS 3/64 dan Jalan 17/13.

Beliau berkata MBPJ juga mengguna pakai kaedah ‘forensik sisa buangan’ dengan menjejak alamat pada bungkusan yang dibuang secara haram.

“Langkah penguatkuasaan berterusan itu membuktikan komitmen pihak berkuasa dalam memastikan kebersihan bandar kekal terpelihara,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619