Tiada perubahan tarikh, sidang DNS kekal bermula 14 November - speaker

29 Okt 2025, 7:15 AM
Tiada perubahan tarikh, sidang DNS kekal bermula 14 November - speaker

SHAH ALAM, 29 OKT: Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) akan berlangsung seperti dijadual bermula 14 November ini selama dua minggu meskipun bertembung dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Speaker DNS, Lau Weng San berkata tiada keperluan untuk meminda tarikh persidangan memandangkan notis kepada Ahli Dewan Negeri (ADN) telah dikeluarkan dan tarikh tersebut turut mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Kita tak boleh pinda kerana notis telah dikeluarkan kepada ADN yang memerlukan tempoh 21 hari. Jika diawalkan, tempoh notis akan menjadi singkat.

“Kita boleh menangguhkan, tetapi masa tidak mencukupi kerana Belanjawan 2026 termasuk rang undang-undang perbekalan perlu diluluskan dan diwartakan pada minggu pertama Disember,” katanya pada sesi libat urus bersama pengamal media.

Weng San berkata sidang harian kali ini dijangka berlangsung lebih panjang berbanding waktu ditetapkan iaitu 4.30 petang bagi memberi ruang dan peluang ADN berbahas lebih panjang.

“Kali ini lebih lama, lebih 4.30 petang. Ini dah masuk tahun ketiga jadi ADN perlu bawa banyak isu rakyat dan perlu dibahaskan. Jadi kita jangkakan persidangan akan berlanjutan dan masa lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata pengangkutan awam, pelaburan serta Tahun Melawat Selangor 2025 serta banjir dijangka menjadi topik hangat dibahaskan pada sidang kali ini.

“Selain itu isu Putra Heights dan pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam dan perkhidmatan van transit atas permintaan (DRT) juga menjadi tumpuan,” katanya.

Sidang DNS diadakan di Bangunan Annex, Shah Alam akan membuka tirai dengan perbentangan Belanjawan Selangor 2026 oleh Dato’ Menteri Besar pada pada 14 November, diikuti 17 hingga 21 November serta 24 hingga 27 November.

Orang ramai boleh mengikuti siaran langsung sidang menerusi laman sesawang selangortv.my serta semua platform media sosial rasmi Media Selangor termasuk Facebook, Instagram, X, TikTok, Telegram serta saluran MYTV.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 November 2025 sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Pengerusi SPR Datuk Seri Ramlan Harun berkata tarikh penamaan calon bagi pilihan raya berkenaan ditetapkan pada 15 November manakala pengundian awal pada 25 November.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619