DUMS lonjak usahawan mikro Selangor: Jualan naik, semangat niaga kembali berkobar

29 Okt 2025, 4:00 AM
DUMS lonjak usahawan mikro Selangor: Jualan naik, semangat niaga kembali berkobar
DUMS lonjak usahawan mikro Selangor: Jualan naik, semangat niaga kembali berkobar
DUMS lonjak usahawan mikro Selangor: Jualan naik, semangat niaga kembali berkobar

KLANG, 29 OKT: Program Dana Usahawan Madani Selangor (DUMS) terus membuktikan keberkesanannya dalam membantu usahawan kecil di negeri ini mengembangkan perniagaan serta meningkatkan daya saing masing-masing.

Bagi S Malar Vili, 40, pemilik sebuah gimnasium di Dengkil, bantuan diterima melalui DUMS menjadi titik perubahan penting dalam perjalanan perniagaannya.

Lebih tiga tahun mengusahakan pusat gimnasium, beliau mengetahui mengenai program itu melalui ketua kampung sebelum nekad memohon dan akhirnya terpilih sebagai penerima.

“Saya bersyukur sebab dapat tiga peralatan gim hasil bantuan DUMS. Sejak ada peralatan baharu, jualan meningkat lebih 30 peratus. Ia beri semangat baharu untuk saya terus maju.

Sebelum ini peralatan tidak mencukupi, pelanggan pun kurang. Tapi syukur, bantuan daripada Kerajaan Negeri ini memang banyak membantu,” katanya.

Beliau antara 118 usahawan yang ditemui ketika Majlis Penyampaian Plak DUMS disempurnakan EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi di Wyndham Acmar Klang, malam tadi.

Sementara itu, Muhammad Aminuddin Syubli Mahmud, 33, yang mengusahakan perniagaan makanan barat di Dapur Kak Mala, Sabak Bernam, turut mengakui banyak manfaat diperoleh hasil inisiatif Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beliau menyertai program Platform Selangor (PLATS) yang banyak mengajarnya selok-belok keusahawanan dan pengurusan perniagaan.

“PLATS dulu bantu saya dari segi ilmu dan strategi bisnes. Sekarang, dengan DUMS pula saya dapat peralatan niaga. Syukur sangat, saya nak tingkatkan kualiti dan kembangkan lagi perniagaan ini,” ujarnya.

Bagi Noor Jannah Rahim, 39, yang menjalankan perniagaan laksa di Petaling Jaya, bantuan DUMS turut membuka ruang untuknya mengorak langkah ke arah penghasilan produk bernilai tambah.

“Saya dapat peralatan seperti pengisar dan peti sejuk beku, memang banyak memudahkan urusan harian. Lepas ini saya nak kembangkan perniagaan dengan jual kuah laksa dalam bentuk ‘retort’. Proses permohonan DUMS pun sangat mudah dan cepat,” katanya.

DUMS yang dijenamakan semula daripada Dana Usahawan Mikro Selangor mula diperkenal pada 2015, bertujuan membantu peniaga kecil meningkatkan produktiviti operasi selain meringankan beban modal membeli peralatan perniagaan.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata lebih RM20.06 juta telah dibelanjakan Kerajaan Negeri bagi membantu ribuan usahawan mikro sejak inisiatif itu diperkenalkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619