PBB puji pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin

28 Okt 2025, 4:14 AM
PBB puji pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin
PBB puji pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin
PBB puji pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memuji pendirian teguh Malaysia terhadap isu Palestin dan kesediaan untuk menyertai kemungkinan misi pengaman PBB di Gaza.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres berkata butiran mengenai misi itu masih dalam pertimbangan.

“Yang penting sekarang ialah memastikan gencatan senjata dikekalkan dan fasa pertama perjanjian dilaksanakan sepenuhnya.

“PBB bersedia memainkan apa jua peranan yang diputuskan oleh pihak utama yang terlibat, sebaik sahaja pengaturan gencatan senjata beralih ke fasa seterusnya,” katanya pada sidang media sebelum Sidang Kemuncak Asean-PBB ke-15, yang diadakan bersempena dengan Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini hari ini.

Beliau turut memuji dasar luar Malaysia yang disifatkannya sebagai konsisten dan adil, bebas daripada dwistandard, dan terus menyokong kuat hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mencapai pembentukan sebuah negara.

Gencatan senjata terbaharu di Gaza berkuat kuasa pada 9 Okt lepas, ialah fasa pertama dalam perjanjian damai pelbagai peringkat antara Hamas dengan Israel. Langkah itu menandakan kejayaan diplomatik, memberikan sinar harapan untuk keamanan selepas perang selama dua tahun, walaupun masih ada keraguan sama ada perkara itu mampu membawa keamanan berpanjangan dan memulihkan wilayah yang musnah.

Pada Ahad, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan Malaysia untuk menghantar anggota bagi menyertai misi pengaman di Gaza yang diketuai PBB.

Dalam perkembangan lain, Guterres melahirkan kebimbangan terhadap konflik yang semakin buruk di Sudan, susulan laporan bahawa kumpulan separa tentera, Rapid Support Forces (RSF), telah menawan bandar El-Fasher di wilayah Darfur.

Beliau berkata perkembangan itu menandakan peningkatan serius dalam perang saudara yang sedang berlaku sambil menggesa masyarakat dunia supaya berhenti mencetuskan konflik melalui campur tangan luar.

“Tahap penderitaan yang kita saksikan di Sudan amat tidak tertanggung. Jelas bahawa kita bukan sekadar menyaksikan masalah rakyat Sudan dengan tentera dan RSF bertempur sesama sendiri.

“Kita melihat semakin banyak campur tangan luar yang menjejaskan peluang untuk mencapai gencatan senjata dan penyelesaian politik,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Guterres menyeru semua negara yang terlibat, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk menghentikan segera bekalan senjata dan menyokong tentera Sudan serta RSF, sambil menegaskan bahawa tindakan mereka hanya merosakkan peluang keamanan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619