Kerajaan bincang pelaksanaan ekonomi penjagaan inklusif negara

28 Okt 2025, 1:21 AM
Kerajaan bincang pelaksanaan ekonomi penjagaan inklusif negara

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Hala tuju dan usaha kerajaan dalam membangunkan ekonomi penjagaan yang inklusif di Malaysia bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat, menjadi antara perkara yang akan dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu diajukan Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan usaha kerajaan dalam merangka pelaksanaan ekonomi penjagaan di negara ini, pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri.

Pada sesi yang sama Dr Halimah Ali (PN-Kapar), meminta Menteri Pengangkutan menyatakan status kelulusan perancangan, laporan penilaian alam sekitar serta langkah kerajaan bagi memastikan manfaat pekerjaan daripada projek Sunway Pier Harbour di Port Klang yang bernilai RM255 juta, dapat dinikmati oleh penduduk setempat.

Langkah bagi membendung kelemahan Persatuan Nelayan Kawasan yang kurang berkesan dalam menjaga kebajikan ahlinya, meskipun berdaftar secara rasmi dan mengutip bayaran ahli setiap tahun juga akan dibincangkan hari ini, apabila ia dibangkitkan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar).

Bagi sesi soal jawab lisan, Syahredzan Johan (PH-Bangi) meminta Menteri Komunikasi menyatakan pendirian kerajaan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan bahawa perkataan ‘jelik’ dan ‘menyakitkan hati’ di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) adalah sekatan yang tidak berperlembagaan, serta langkah kerajaan untuk mengharmonikan seksyen tersebut dengan keputusan mahkamah.

Selepas sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat akan diteruskan dengan menyambung semula sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2026) untuk hari terakhir sebelum sesi penggulungan pada peringkat dasar.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619