Dasar Speed Selangor mula dilaksana bulan ini, percepat kelulusan pembangunan kepada 30 hari

26 Okt 2025, 3:26 AM
Dasar Speed Selangor mula dilaksana bulan ini, percepat kelulusan pembangunan kepada 30 hari

SHAH ALAM, 26 OKT: Dasar Speed Selangor yang diperkenalkan bagi mempercepat dan memudahkan proses kelulusan pembangunan mula dilaksanakan bulan ini, melibatkan semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen pentadbiran mewujudkan persekitaran pelaburan yang pantas, telus dan mesra, sekali gus menjadikan Selangor destinasi utama pelabur dalam dan luar negara.

“Mulai Oktober, semua 12 PBT di Selangor akan melaksanakan sepenuhnya garis panduan Speed Selangor bagi mempercepat proses kelulusan permohonan dalam tempoh 30 hari, berbanding tiga hingga 12 bulan sebelum ini, bagi kes yang lengkap dan memenuhi syarat,” katanya menerusi Facebook.

Berdasarkan infografik dikongsi, Speed Selangor menumpukan projek pembinaan bangunan industri seperti zon perindustrian terancang, kilang, gudang serta kemudahan logistik.

Dasar itu turut memberi keutamaan kepada pembangunan komersial termasuk hospital, universiti swasta dan kemudahan pendidikan, khususnya bagi projek berimpak tinggi yang mampu meningkatkan produktiviti serta pelaburan.

Proses kelulusan dijangka hanya mengambil masa maksimum 30 hari, merangkumi pra rundingan selama 21 hari dan kelulusan pelan pemajuan dalam sembilan hari.

Dalam Belanjawan 2025, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memperkenalkan dasar berkenaan bagi memendekkan tempoh kelulusan kebenaran merancang kawasan industri sejajar dengan agenda negeri sebagai pemudah cara perniagaan serta menarik industri baharu bertapak di Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619