Seramai 5,572 pendakwah di Selangor miliki tauliah sah - Mais

26 Okt 2025, 2:59 AM
Seramai 5,572 pendakwah di Selangor miliki tauliah sah - Mais

SHAH ALAM, 26 OKT: Seramai 5,572 penceramah di negeri ini diperaku sebagai pemegang tauliah sekali gus menggambarkan jaringan besar golongan pendakwah yang sah di sisi undang-undang.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Dato’ Setia Salehuddin Saidin turut mengingatkan pemegang tauliah mengamalkan integriti, disiplin serta berpegang teguh kepada Ahli Sunah Wal Jamaah ketika menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

“Perakuan tauliah itu bukan sekadar lesen mengajar sebaliknya menjadi lambang amanah dan benteng dalam menjaga kesucian Islam daripada diseleweng,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Mais.

Terdahulu, beliau merasmikan Ijtimak Pemegang Tauliah Mengajar Negeri Selangor 2025 yang berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, semalam.

Program anjuran Mais dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) itu bertujuan memperkukuh kefahaman serta kompetensi pemegang tauliah terhadap isu semasa berkaitan fatwa dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

Majlis sama turut melancarkan modal pengukuhan dan profesionalisme pemegang tauliah mengajar 2026 yang menekankan aspek akidah, fiqh, tasawuf, ajaran sesat semasa, kemahiran al-Quran serta pematuhan terhadap peraturan tauliah terkini.

Pada 2023, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bertitah supaya program memakmurkan masjid seperti ceramah, kuliah dan tazkirah hanya disampaikan individu yang memiliki tauliah daripada Mais.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah penceramah luar negara hanya diberi kebenaran di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong, Masjid Diraja Sultan Sulaiman Klang dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah Cyberjaya sahaja.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619