Semah Angin: Tiga Hela Haibun dan Sehembus Renga

25 Okt 2025, 12:30 AM
Semah Angin: Tiga Hela Haibun dan Sehembus Renga

—mengingati Carol Laderman

dewa muda

kukejutkan tujuh gendang dan lima rebab dalam satu hela. apa yang di atas pasti turun—sama ada wahyu mahupun hukum alam. ketika langit berbunga, tatkala itu bumi berbuah. dongeng baru bakal terbit. tengkujuh nama lain bagi musim. beratus akar berdengkur terjaga dek sabung halilintar dan guruh bertabuh di ufuk jauh. apa yang telah dilupai harus diingati kembali—sama ada riwayat mahupun hikayat. pada waktu awan-gemawan memberat, akar mengharapkan basah. sebuah nama diseru:

nik turunan kayangan, / melagukan berahi rawan— / hujan awal musim tengkujuh.

dewa penchil

asal tajam balik tumpul. asal panas balik sejuk. jadikan usir perkataan yang kenal maksud kembali. jadikan setiap jalan bermula dengan nama sakti dan berakhir dengan erti keramat. pertualangan nama lain bagi peringatan. kenangan ialah sehelai kain cindai dikerat dua dan semoga suatu hari dengan jala beremas tersulamlah semula. jadikan kepulangan bertimpuh di atas lidah kita bak peta tanpa batas. jadikan kita mampu mengucapkannya pada setiap keberangkatan dan ketibaan:

hujan tak turun, / lautan pun berlimpahan— / semua arah menuju pulang.

hala

mana tujuh rimau berjalur api berbelang empat puluh? mana tujuh lilin tanah menyala di balik tabir alam? mana tujuh beruk kera dengan taufan di dada berlaungan di rimba renta? mana tujuh pucuk rebung lahir dari setitik air membelah cahaya di belantara muda? mana ulit lama dari silih ganti musim? mana sembilan jalan enam arah dari padang luas saujana padang simpang empat bercabang tiga? soalan-soalan yang muncul tak ubah seperti angin menjulang menumbuhkan lagi tanda tanya penciptaan:

harimau jadian jendera, / ribut dan laut bergelora— / tarian qadim dan baqa.

diriku

cerang tegayong / tanah mula titihku; / manakala di bumi perak— // beratus bunga kertas mekar / setelah tengkujuh selesai.

Jack Malik

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619