Acosta muncul pelumba terpantas sesi latihan MotoGP di Sepang

24 Okt 2025, 11:02 AM
Acosta muncul pelumba terpantas sesi latihan MotoGP di Sepang

SEPANG, 24 OKT: Keadaan cuaca mendung tidak menghalang pelumba Sepanyol, Pedro Acosta daripada muncul pelumba terpantas pada sesi latihan MotoGP Grand Prix (GP) Malaysia 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC, hari ini.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing itu menamatkan sesi berkenaan dengan catatan masa 1 minit 57.559 saat (s), mengatasi Johann Zarco (Castrol Honda LCR) di tempat kedua dengan masa 1:57.578s , manakala Jack Miller (Prima Pramac Yamaha) ketiga terpantas dengan 1:57.840S.

“Bukan cara terbaik untuk memulakan sebuah sesi dan saya mohon maaf kepada semua kerana ia bukan cara terbaik untuk mendapatkan kelajuan. Ia tidak termasuk dalam perancangan saya untuk kehilangan banyak masa pada awal sesi seperti yang berlaku hari ini.

“Namun begitu, saya berpuas hati dengan rentak yang ditunjukkan selepas terjatuh pada sesi Latihan Bebas 1 (FP1) serta gembira dengan kedua-dua percubaan masa yang dilakukan,” katanya ketika ditemui selepas sesi tamat.

Sementara itu, bagi kelas Moto2, pelumba Sepanyol Manuel Gonzalez daripada Liqui Moly Dynavolt Intact GP mencatat masa terpantas 2:04.166s diikuti Jake Dixon (Elf Marc VDS Racing Team) dengan 2:04.218s, manakala Albert Arenas (Gresini Moto2) ketiga terpantas dengan 2:04.282s.

Dua pelumba negara daripada Petronas MIE Racing RW, Azroy Hakeem Anuar dan Muhammad Helmi Azman, masih bergelut mencari rentak terbaik apabila masing-masing menamatkan sesi di kedudukan ke-29 ( 2:07.853S) dan terakhir (2:08.279s).

Bagi kelas Moto3, pelumba Red Bull KTM Ajo, Jose Antonio Rueda bergelar pelumba terpantas apabila melakukan catatan 2:11.152s diikuti rakan sepasukannya Alvaro Carpe kedua terpantas (2:11.187s), manakala pelumba Liqui Moly Dynavolt Intact, Brian Uriarte di tempat ketiga (2:11.202s).

Pelumba muda negara, Hakim Danish Ramli, yang mewakili AEON Credit SIC Racing MSI, turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila menduduki tempat kelapan (2:11.317s) pada sesi FP1 sebelah pagi. Namun, momentum itu tidak kekal apabila beliau menamatkan sesi berikutnya di tempat ke-11 (2:11.820s).

Walau bagaimanapun, pelumba berusia 18 tahun itu sudah mengesahkan tempat ke sesi kelayakan kedua (Q2) esok selepas berada dalam kelompok 14 pelumba terpantas berdasarkan keputusan keseluruhan sesi FP1 hari ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619