JPJ Selangor tahan ulat teksi tawar tambang RM80 di KLIA

24 Okt 2025, 4:02 AM
JPJ Selangor tahan ulat teksi tawar tambang RM80 di KLIA

SEPANG, 24 OKT: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan seorang individu yang disyaki menjalankan aktiviti ‘ulat’ dengan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut kenyataan JPJ di Facebook, hasil intipan dan pemantauan yang dijalankan Stesen Penguatkuasa KLIA berjaya membawa kepada tangkapan seorang ‘ulat’ bersama sebuah kenderaan jenis Perodua Aruz yang turut disita bagi siasatan lanjut.

"Siasatan awal mendapati suspek telah memujuk dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada seorang penumpang warganegara Bangladesh dari Terminal 1 KLIA ke Putra Heights, Selangor dengan kadar tambang RM80, yang akan dibayar sebaik tiba di destinasi," katanya.

JPJ menegaskan, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Selain itu, mereka yang bersubahat dalam aktiviti ulat turut boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta sama.

JPJ menasihatkan orang awam agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan sah, sama ada melalui kaunter rasmi di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau aplikasi p-panggilan berdaftar.

Sebarang aduan berkaitan aktiviti ulat atau trafik boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform e-aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat kejadian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619