Kerajaan tegas larang pesta arak di sekolah, pastikan kejadian tidak berulang

23 Okt 2025, 7:19 AM
Kerajaan tegas larang pesta arak di sekolah, pastikan kejadian tidak berulang

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bercanggah dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, termasuk selepas waktu persekolahan.

Beliau berkata walaupun premis sekolah disewa oleh pihak luar, seperti persatuan alumni, ia tidak wajar digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan dan falsafah pendidikan negara.

“Suasana sekolah mesti dijaga… walaupun selepas waktu persekolahan, dewan sekolah tidak seharusnya digunakan untuk kegiatan yang melanggar peraturan. Aktiviti seperti arak atau perjudian bukan mendidik anak-anak dan bercanggah dengan konsep serta falsafah pendidikan kita,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) mengenai dakwaan penganjuran pesta arak di sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak pada 27 Sept lepas.

Anwar berkata Menteri Pendidikan telah memaklumkan isu tersebut kepadanya dan tindakan memperketat garis panduan sedang dipertimbangkan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Beliau menegaskan larangan itu bukan bertujuan menafikan hak bukan Islam, tetapi demi menjaga nilai sejagat yang perlu dikongsi semua kaum di Malaysia.

“Kita mahu semua pihak, termasuk bukan Islam, memahami bahawa sekolah adalah tempat mendidik ilmu dan nilai. Bukan untuk pesta arak atau kegiatan yang menyalahi peraturan,” katanya.

Menurut Anwar walaupun kerajaan perlu meneliti bidang kuasa terhadap sekolah swasta, prinsip melarang penganjuran aktiviti berunsur arak atau perjudian di sekolah kerajaan tidak boleh dikompromi.

“Saya cenderung untuk tidak membenarkan pesta sebegini, sama ada diadakan sebelum atau selepas waktu persekolahan,” katanya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619